fb fb fb fb fb

Crystal Palace berhak tewaskan Liverpool - Slot

Arne Slot bercakap dengan pegawai rasmi dalam aksi Liverpool menentang Crystal Palace. / AFP

LONDON, 28 September - Crystal Palace layak meraih kemenangan 2-1 ke atas Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park.

Pengendali The Reds, Arne Slot berkata pasukan tuan rumah memiliki rekod sempurna di stadium tersebut.

"Jika ada pasukan yang layak menang hari ini, ia adalah Palace.

"Pujian buat mereka, dengan Perisai Komuniti, ini bukan kali pertama kami (Liverpool) tewas kepada Palace. Mereka sepatutnya sudah mendahului dua atau tiga gol pada aksi separuh masa pertama," katanya.

Pengurus dari Belanda berusia 47 tahun itu turut mengakui kecewa dengan pertahanannya, iaitu apabila Jeremie Frimpong leka meninggalkan Eddie Nketiah tanpa dikawal.

Kelekaan itu menyebabkan pasukan lawan mendapat gol kemenangan.

"Kami hanya boleh menyalahkan diri sendiri dengan cara pertahanan yang buruk," katanya.

Dalam perlawanan semalam, The Eagles membuka jaringan seawal minit ke-9 menerusi Ismaila Sarr.

The Reds yang tampil dengan wajah baharu selepas berbelanja hampir £450 juta untuk mendapatkan pemain, kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi Federico Chiesa pada minit ke-87.

Selang 10 minit kemudian Nketiah meledak gol kedua buat Palace untuk kemenangan di laman sendiri.

Selepas enam perlawanan EPL, Palace menjadi satu-satunya pasukan yang belum pernah tewas.

Liverpool kekal di tangga teratas liga dengan 15 mata, berkelebihan tiga mata mengatasi Palace di kedudukan kedua. -AFP

MOHAMAD KHAIRIE KHALID