SAO PAULO, 15 Mac- Bintang Brazil, Neymar, disahkan tidak akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Colombia dan Argentina selepas kecederaan paha menghalangnya daripada kembali menyarung jersi kebangsaan.
Neymar, yang hampir satu setengah tahun tersisih daripada skuad Brazil akibat kecederaan, dilihat kembali bertenaga sejak menyertai kelab lamanya, Santos, Februari lalu.
Namun, kecederaan paha kiri yang berlarutan sejak dua minggu lalu memadam impiannya untuk beraksi bersama skuad Selecao.
Menerusi hantaran di Instagram, Neymar meluahkan kekecewaannya:
"Kepulangan saya dirasakan semakin hampir, tetapi malangnya saya tidak dapat memakai jersi paling penting di dunia buat masa ini."
Tambahnya lagi, keputusan itu dibuat selepas perbincangan panjang bersama pasukan perubatan.
"Kami sepakat bahawa adalah lebih baik untuk tidak mengambil risiko dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk pulih daripada kecederaan ini."
Jurulatih Brazil, Dorival Junior, memanggil Neymar, penjaring terbanyak Brazil dengan 79 gol dalam usaha memperkukuh skuad yang kini di tangga kelima saingan kelayakan zon Amerika Selatan.
Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Neymar, penyerang Real Madrid, Endrick, telah dipilih.
Brazil bakal berdepan Colombia di Brasilia pada 20 Mac, sebelum bertandang ke Buenos Aires untuk bertemu musuh tradisi, Argentina, lima hari kemudian.
Neymar, 33, baru sahaja menemui sentuhan jaringan dua minggu lalu, meledak gol pertamanya dalam tempoh lebih 14 bulan bersama Santos sejak kembali ke kelab zaman remajanya.-AFP