fb fb fb fb fb

Cabaran Malaysia kini bermula di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022



KUALA LUMPUR, 5 Februari- Dua peluncur ski negara, Jeffrey Webb dan Aruwin Salehhuddin mengarak Jalur Gemilang masuk ke Stadium Nasional Beijing pada upacara perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, pada malam Jumaat.

Perarakan atlet negara itu menandakan penyertaan Malaysia sebuah negara beriklim Khatulistiwa dalam temasya sukan berprestij berkenaan.

Malaysia merupakan kontinjen kelima memasuki stadium yang terkenal dengan nama jolokan Stadium Sarang Burung tersebut.

Turut menyertai perbarisan adalah Ketua Kontinjen, Moira Tan, Pengurus Pasukan, Salehhuddin Ayob, Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia, Fong Wan Hor dan dua jurulatih, Bezjak Mladen dan Ryan Shorter.

Kontinjen negara memperagakan persalinan musim sejuk berwarna hijau gelap serta hitam, selain dilengkapi topi salji berwarna putih tertera Jalur Gemilang di bahagian depan.

Aruwin yang merupakan atlet wanita negara pertama melayakkan diri ke Sukan Olimpik Musim Sejuk akan memulakan cabarannya dalam acara 'Giant Slalom' Wanita pada Isnin depan, sebelum turun bertanding dalam acara 'Slalom' pada 9 Februari ini.

Sementara itu, Jeffrey pula dijadual beraksi pada 16 Februari, sekali gus berpeluang memperbaiki pencapaiannya pada edisi terdahulu.

Media Baharu