fb fb fb fb fb

BATC: Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada skuad badminton lelaki kebangsaan

FOTO FACEBOOK ISTANA NEGARA 

KUALA LUMPUR, 21 Februari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, semalam.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang itu kerana pasukan badminton negara telah mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan tersebut buat pertama kalinya dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia," demikian menurut catatan itu.

Kejohanan dwitahunan itu merupakan pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber, di mana empat pasukan terbaik akan layak ke acara berpasukan itu pada Mei depan.

 

Media Baharu