
IPOH, 15 Julai– Bekas ketua pasukan Perak FA, Nasir Basharudin kembali menyarung jersi The Bos Gaurus bagi memperkuat skuad menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027.
- Pengalaman luas Nasir mampu membimbing pemain muda serta mempercepat perkembangan mereka.
- Beliau dijangka membentuk budaya profesional, disiplin dan mentaliti kemenangan dalam pasukan.
- Kehadiran beliau memperkukuh bahagian tengah dan memainkan peranan pemimpin dalam serta luar padang.
- Dikenali sebagai "Acer", antara tonggak yang membantu Perak menjuarai Piala Malaysia 2018.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Haji Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pengalaman luas dimiliki Nasir diyakini mampu membimbing pemain muda serta memperkukuh kekuatan pasukan.
“Pengalaman Nasir sebagai pemain profesional dan bekas pemain kebangsaan diyakini mampu membimbing serta mempercepatkan perkembangan pemain muda Perak FA.
Pada masa sama membentuk budaya profesional, disiplin dan mentaliti kemenangan dalam pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook Perak FA.
Menurut beliau, kehadiran pemain tengah berpengalaman itu bukan sahaja memperkukuh bahagian tengah pasukan, malah mampu memainkan peranan sebagai pemimpin di dalam dan di luar padang.
PAFA berharap kepulangan Nasir dapat membantu mengangkat semula prestasi Perak FA dalam saingan bola sepak tempatan.
Nasir atau lebih dikenali sebagai “Acer” merupakan antara tonggak yang membantu Perak menjulang Piala Malaysia pada 2018.