MADRID, 1 Oktober - Kelab Sepanyol, Atletico Madrid mengharamkan seorang penyokong yang membuat kacau semasa perlawanan berlangsung daripada memasuki stadium seumur hidup.
Ia susulan insiden membaling objek ke dalam padang semasa saingan La Liga menentang Real Madrid.
Dalam aksi di Stadium Estadio Metropolitano pada Ahad, perlawanan terpaksa dihentikan selama 15 minit selepas penyokong tuan rumah membaling objek termasuk pemetik api ke arah pemain lawan.
Atletico menerusi satu kenyataan memaklumkan, bahagian keselamatan sedang mengenal pasti individu-individu lain yang terlibat.
Susulan insiden itu juga, Atletico juga mengumumkan perubahan kepada peraturan penampilan peminat di stadium.
Ia melibatkan larangan menggunakan apa-apa elemen atau pakaian yang menghalang membezakan wajah seseorang untuk menyembunyikan identiti mereka. - AFP-