Penduduk Gaza terus berdepan krisis keperluan asas akibat aktiviti ketenteraan Israel – PBB

Penduduk Palestin di Gaza terpaksa bergelap susulan gangguan bekalan elektrik yang berlarutan sejak Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023.

GAZA, 15 September – Penduduk Palestin yang dipindahkan di Gaza terus bergelut mendapatkan keperluan asas termasuk bekalan air bersih, ketika serangan dan aktiviti ketenteraan terus menjejaskan kehidupan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan bekalan air di beberapa penempatan akibat aktiviti ketenteraan, menyebabkan akses air bersih dan selamat tidak boleh dipercayai.
  • Keluarga kehilangan tempat tinggal memerlukan tilam, selimut dan kanvas untuk menghadapi musim hujan serta cuaca lebih sejuk.
  • Keadaan penempatan sesak dan sanitasi terhad meningkatkan risiko penularan penyakit, sementara serangan di kawasan berpenduduk menyebabkan lebih korban dan perpindahan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkata, penduduk di beberapa lokasi penempatan terpaksa berdepan gangguan bekalan air akibat aktiviti ketenteraan, menyebabkan mereka tidak mempunyai akses yang boleh dipercayai kepada air bersih dan selamat.

Menurut jurucakap PBB, Stéphane Dujarric, perkara itu dikenal pasti ketika wakil Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) mengunjungi beberapa lokasi penempatan di Khan Younis pada Isnin.

Di satu lagi lokasi berhampiran kawasan yang dikenali sebagai Garisan Kuning, penduduk memaklumkan bekalan air terjejas akibat aktiviti ketenteraan.

PBB turut melaporkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan masih memerlukan keperluan asas termasuk tilam, selimut dan kanvas bagi menghadapi musim hujan dan cuaca lebih sejuk.

OCHA sebelum ini melaporkan 91 peratus isi rumah yang dinilai di Gaza berdepan ketidakjaminan akses kepada air pada tahap sederhana hingga tinggi, manakala keadaan penempatan yang sesak serta kemudahan air dan sanitasi yang terhad meningkatkan risiko penularan penyakit. (UN OCHA OPT)

Dujarric berkata PBB juga terus menerima laporan membimbangkan mengenai serangan yang berlaku di kawasan berpenduduk, yang boleh menyebabkan lebih banyak korban, kerosakan dan perpindahan penduduk. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.