Darurat belum tamat, guru Bolivia tetap turun protes beban kos sara hidup

Para guru berarak menentang kerajaan Bolivia, sementara dikawal polis di La Paz, Bolivia pada 15 September 2026./ REUTERS

LA PAZ, 16 September – Gabungan guru-guru di Bolivia turun ke jalanan di La Paz, membantah peningkatan kos sara hidup, ketidakstabilan mata wang serta kenaikan harga bahan api.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes berlaku sementara perintah darurat masih berkuat kuasa sehingga 18 September.
  • Guru mengetuk periuk, berhadapan polis antirusuhan; ketua guru dakwa kehadiran polis mengancam keselamatan.
  • Perhimpunan Perundangan mempertimbangkan lanjutan 90 hari perintah darurat; beberapa kumpulan ancam menentang lanjutan.

Protes pada Selasa itu berlangsung ketika negara berkenaan masih berada di bawah perintah darurat yang berkuat kuasa sehingga 18 September.

Sambil mengetuk periuk dan melaungkan slogan, kumpulan guru turut berdepan anggota polis antirusuhan yang dikerahkan bagi mengawal keadaan.

Ketua guru Bolivia, Anahi Bozo, mendakwa kehadiran polis mengancam keselamatan para penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, Komander Polis Jabatan La Paz, Ricardo Terrezas, cuba berunding dengan kumpulan terbabit sambil mengingatkan bahawa perintah darurat melarang perhimpunan melibatkan sejumlah besar orang.

Menurutnya, perarakan juga boleh dianggap sebagai satu bentuk sekatan jalan raya.

Sementara itu, Perhimpunan Perundangan Bolivia dijadual membincangkan kemungkinan melanjutkan perintah darurat selama 90 hari lagi.

Beberapa kumpulan masyarakat memberi amaran akan menentang lanjutan tersebut meskipun larangan mengadakan demonstrasi masih berkuat kuasa.

Presiden Rodrigo Paz mengisytiharkan perintah darurat pada 20 Jun lalu susulan sekatan jalan raya yang berlarutan sejak Mei, sehingga menjejaskan aktiviti ekonomi dan sistem perhubungan negara berkenaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.