
SEREMBAN, 16 September – Kumpulan Arjuna Gemala muncul johan Pesta Pantun (PESANTUN) Negeri Sembilan 2026 selepas menewaskan kumpulan Empat Puluh Empat dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Auditorium Utama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan.
- Bertemakan "Kembali Ke Sekolah", PESANTUN 2026 menghimpunkan 16 kumpulan, menguji kepantasan berfikir dan kreativiti pantun.
- Hadiah wang tunai juara RM4,000, naib juara RM3,000; Anugerah Pemantun Terbaik dimenangi Muhamad Noriman Mustafa Al Bakry (RM200).
- JKKN menekankan pertandingan sebagai platform melestarikan pantun dan menarik minat generasi muda terhadap seni berbahasa.
Kemenangan itu membolehkan Arjuna Gemala membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, manakala Empat Puluh Empat menerima hadiah wang tunai RM3,000, selaku naib juara.
Anugerah Pemantun Terbaik pula dimenangi oleh ahli Arjuna Gemala, Muhamad Noriman Mustafa Al Bakry, yang menerima wang tunai RM200.
Bertemakan “Kembali Ke Sekolah”, PESANTUN Negeri Sembilan 2026 menghimpunkan 16 kumpulan dalam pertandingan yang menguji kepantasan berfikir, kemahiran berbahasa dan kreativiti peserta dalam menghasilkan serta membalas pantun.
Pengarah Bahagian Dasar dan Penyelidikan JKKN, Salmiyah Ahmad berkata, pertandingan itu menjadi platform berterusan JKKN untuk menarik minat generasi muda menghayati seni berbahasa.
“Pantun ini merupakan sebahagian daripada warisan tidak ketara yang menjadi tanggungjawab JKKN dan kita merupakan pentadbir budaya yang perlu melestarikan kesenian-kesenian yang hampir pupus.
“Walaupun pantun bukan salah satu kesenian yang hampir pupus, menjadi tanggungjawab kita melalui program sebegini untuk memastikan generasi muda berminat dengan seni berbahasa,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Sementara itu, kejayaan Arjuna Gemala muncul juara dipacu oleh pengalaman anggotanya yang mempunyai latar belakang sebagai pemantun di peringkat institusi pengajian tinggi dan kebangsaan.
“Kekuatan pasukan Arjuna Gemala disebabkan ahli pasukan mempunyai personaliti dan karakter yang berbeza-beza. Saya rasa itu boleh menambat hati juri.
“Yang kedua dari segi pengalaman sebab kami terdiri daripada pemantun di peringkat IPT dan juga peringkat kebangsaan,” menurut ketua kumpulan Arjuna Gemala, Mohd Morhafifi Zolkiaply.
Pertandingan akhir itu dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Sembilan, Datuk Razali Abu Samah, manakala Ahmad Fedtri Yahya diundang sebagai juru pantun jemputan.
PESANTUN Negeri Sembilan 2026 dianjurkan oleh JKKN Negeri Sembilan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS).