
ISKANDAR PUTERI, 16 September — Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
- Oscar Arribas menjaringkan gol melalui rembatan jarak jauh pada minit ke-25.
- Stefan Schimmer menyamakan kedudukan pada minit ke-43.
- Kedua-dua pasukan menerima kad merah: Ken Dougall (57) dan Eddy Israfilov (90).
Perlawanan yang berlangsung selama 97 minit di hadapan kira-kira 32,000 penonton itu menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing dilayangkan kad merah.
JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi rembatan jarak jauh Oscar Arribas yang menewaskan penjaga gol Buriram United.
Bagaimanapun, Buriram United menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi penyerangnya, Stefan Schimmer.
Kapten Buriram United, Ken Dougall dilayangkan kad merah pada minit ke-57 selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Nacho Mendez.
JDT turut kehilangan seorang pemain apabila Eddy Israfilov dilayangkan kad merah pada minit ke-90 selepas mengasari Radakovic.
JDT berpeluang kembali di depan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-86, namun percubaan Bergson Da Silva berjaya dibaca penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge.
Masa kecederaan tujuh minit tidak mengubah kedudukan apabila perlawanan berakhir 1-1.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang menguasai permainan sehingga wisel penamat.
“Pasukan bermain dengan sangat baik. Kami mengawal bola dari satu bahagian ke bahagian lain dan mencipta peluang dari luar serta menerusi gerakan individu. Saya rasa pasukan menunjukkan persembahan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Arribas berkata beliau akan terus berusaha memperbaiki kelemahan pasukan bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
“Saya gembira dapat membantu pasukan, namun kami tidak berjaya melakukannya hari ini. Kami akan cuba memperbaiki kelemahan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Bagi Buriram United, ketua jurulatih Mario Silva menyifatkan keputusan seri itu sebagai sesuatu yang membanggakan, terutama selepas beliau baru seminggu mengambil alih pasukan.
“Saya sangat berbangga dengan pemain dan sangat gembira dengan keputusan ini. Kami bertuah hari ini, namun pada masa sama bukan mudah untuk bermain menentang JDT di stadium ini, di hadapan penyokong mereka,” katanya.