fb fb fb fb fb

Amorim guna baki perlawanan EPL, persediaan akhir Liga Europa

Pengendali Manchester United, Ruben Amorim/Reuters

MANCHESTER, 10 Mei- Pemain Manchester United mempunyai baki tiga perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk membuktikan kelayakan berada dalam kesebelasan utama bagi aksi akhir Liga Europa, 22 Mei ini.

Pengendali Manchester United, Ruben Amorim bagaimanapun berkata barisan kejurulatihannya perlu bijak mengurus bagi mengelak kecederaan pemain, berdepan Tottenham Hotspur.

United mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Athletic Bilbao pada separuh akhir, sekali gus membuka peluang terakhir kelab itu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika ini, skuad Amorim berada di tangga ke-15 EPL menjelang aksi menentang West Ham United pada Ahad dan tidak lagi berpeluang menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

Justeru, pengendali dari Portugal itu menjelaskan sesi latihan tidak akan terlalu intensif selepas musim yang meletihkan.

"Kami tidak dapat simpan apa-apa daripada EPL, tetapi ini memberi peluang kepada pemain untuk rebut tempat ke final. Mereka akan bersaing dalam baki perlawanan ini.

Ketika menentang Brentford (kalah 4-3), saya perasan ada pemain yang sudah memikirkan aksi separuh akhir menentang Bilbao. Maka, kami perlu urus perkara itu.

Tetapi pada masa sama, kita adalah Manchester United, kita perlu menang. Perlawanan liga ini juga penting untuk persediaan ke final dan membina masa depan," kata Amorim kepada media.

West Ham kini di tangga ke-17 dan berpotensi memintas United jika menang.

Amorim turut memberi bayangan akan merehatkan beberapa pemain utama sekali lagi.

Beliau mengakui prestasi pasukan dalam EPL mengecewakan dan wajar dikritik, namun bertegas akan terus membuat keputusan demi kebaikan kelab.

"Saya setuju dengan segala kritikan, tapi sekarang kita perlu bijak. Kita kena ambil risiko dan bersedia dikritik demi sasaran lebih penting.

Saya pilih untuk utamakan kelab, bukan diri saya. Saya akan cuba jaga pemain sebaik mungkin kerana kami mesti menang final itu," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amorim mengesahkan Bruno Fernandes tiada masalah kecederaan manakala Harry Maguire masih dalam keraguan untuk diturunkan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM