
SEREMBAN, 14 Oktober – Sebanyak 498 daripada 3,741 kenderaan yang dipandu warga asing di Negeri Sembilan disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober lepas.
- JPJ ambil tindakan terhadap pemandu warga asing yang melanggar peraturan, termasuk memandu tanpa lesen, tiada insurans dan cukai jalan tidak sah.
- Kawasan panas dikenal pasti di Sikamat dan Nilai, menjadi fokus penguatkuasaan Operasi PeWA.
- Kebanyakan warga asing menggunakan kenderaan pinjaman atau disewa daripada rakyat tempatan, jadi pemilik turut akan dikenakan tindakan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, tindakan itu diambil terhadap pemandu warga asing yang melanggar peraturan jalan raya, termasuk
memandu kenderaan tanpa lesen yang sah.
Antara kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas adalah di Sikamat dan Nilai.
”Sepanjang tahun 2025, sebanyak 4,811 buah kenderaan telah diperiksa menerusi penguatkuasaan berkaitan PeWA, sebanyak 746 buah kenderaan telah diambil tindakan.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober 2026 pula, sebanyak 3,741 buah kenderaan telah diperiksa, daripada jumlah itu, sebanyak 498 buah kenderaan telah diambil tindakan.
“Sebanyak 2,422 Notis JPJ(P)22 telah dikeluarkan, manakala 288 notis bawah seksyen 64(1) direkodkan,” katanya pada sidang media penguatkuasaan OPS PEWA di sini.
Dalam pada itu, warga Pakistan mencatatkan jumlah tertinggi tindakan penguatkuasaan pada 2025, membabitkan 244 kenderaan dengan 1,091 notis dikeluarkan.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 11 Oktober tahun ini, sebanyak 313 kes motosikal, 149 kereta dan 36 kenderaan perdagangan barangan direkodkan.
Sementara itu, dalam Ops Luxury PeWA, JPJ turut merampas empat kenderaan mewah yang dipandu warga Bangladesh, Pakistan, China dan Rohingya.
Tambah Jasyindar Singh berkata, kesemua mereka ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu, kenderaan tiada insurans dan tiada cukai jalan yang sah.
Kebanyakan warga asing menggunakan kenderaan yang dipinjam daripada rakan atau disewa daripada warga tempatan.
Tindakan penguatkuasaan turut akan diambil terhadap pemilik kenderaan, termasuk majikan dan individu persendirian, yang didapati melanggar peraturan berkaitan.