MILAN, 31 Disember- Pasukan Serie A, AC Milan melantik Sergio Conceicao sebagai pengurus baharu pasukan menggantikan Paulo Fonseca yang dipecat.
Kelab itu dalam satu kenyataan mengesahkan jurulatih kelahiran Portugal itu menandatangani perjanjian sehingga 30 Jun 2026.
Pengendali berusia 50 tahun itu sebelum ini berkhidmat sebagai jurulatih gergasi Portugal, FC Porto.
Tujuh tahun bersama kelab itu, Conceicao bergelar jurulatih paling berjaya apabila membimbing Porto merangkul tiga kejuaraan liga,empat Piala Portugis, Piala Liga dan Piala Super.
Conceicao, yang merupakan pemain sayap di Porto, Lazio dan Inter Milan memulakan karier pengurusannya sebagai pembantu jurulatih di kelab liga utama Belgium, Standard Liege pada 2010.
Dalam pada itu, Milan memecat Fonseca hanya selepas enam bulan berkhidmat susulan prestasi tidak konsisten yang menyebabkan kelab itu jatuh di tangga kelapan liga.
Milan, yang seri 1-1 di laman sendiri menentang AS Roma sebelum ini, hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan terakhir liga.
Juara Itali 19 kali itu berada lapan mata di belakang kelompok empat teratas dan 14 mata di belakang pendahulu Atalanta.- AFP