fb fb fb fb fb

Aaron Chia-Wooi Yik cadang nama jurulatih, keputusan ditangan BAM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Disember- Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui sudah mengemukakan beberapa calon ketua jurulatih beregu lelaki baharu kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggantikan tempat ditinggalkan jurulatih, Tan Bin Shen.

Aaron berkata bagaimanapun mereka menyerahkan keputusan akhir kepada BAM, bagi menentukan ketua jurulatih baharu beregu lelaki negara selepas ini.

"Bagi saya siapa-siapa (ketua jurulatih baharu) pun boleh. Kita ada bincang dan cadang tetapi keputusan akhir ialah BAM," kata Aaron kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada majlis lanjutan penajaan antara BAM dan minuman isotonik terkemuka negara.

Penajaan selama empat tahun itu dijangka mampu melonjakkan prestasi pemain terutamanya pemain muda selain membantu para pemain mencapai misi merangkul emas pada Sukan Olimpik 2028.

Dalam pada itu, aspek kesetiaan menjadi kriteria utama yang akan dipertimbangkan.

Perkara tersebut dijelaskan Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam bagi pencarian ketua jurulatih badminton beregu lelaki negara yang baharu.

Beliau berkata calon yang sesuai untuk mengisi jawatan itu harus mempunyai disiplin tinggi dan berdedikasi untuk membawa pemain badminton negara ke tahap lebih tinggi.

Ketika ditanya mengenai trend jurulatih kebangsaan yang kerap mencari peluang di luar negara, beliau menjelaskan itu menjadi kebiasaan buat para jurulatih mencari pengalaman baharu.

Berdasarkan sistem kejurulatihan semasa, hanya Rosman Razak yang mengendali beregu wanita merupakan jurulatih tempatan

Sementara itu, bahagian lain dipimpin jurulatih asing seperti Kenneth Jonassen dari Denmark bagi perseorangan dan Nova Widianto dari Indonesia untuk beregu campuran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM