Kerajaan India minta tempoh sehari jawab tuntutan penunjuk perasaan

Penunjuk perasaan desak peletakan jawatan Menteri Pendidikan India / Foto REUTERS

NEW DELHI, 25 Julai – Kerajaan India meminta tempoh sehingga petang Sabtu bagi memberi maklum balas terhadap tuntutan penunjuk perasaan yang mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan, susulan dakwaan kebocoran soalan peperiksaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Puluhan ribu belia berhimpun di New Delhi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan berikutan dakwaan kebocoran soalan peperiksaan.
  • Kerajaan diwakili Jagat Prakash Nadda dan Dr. Jitendra Singh manakala CJP diwakili Saurav Das dan Ashutosh Ranka dalam rundingan.
  • Aktivis Sonam Wangchuk menamatkan mogok lapar 26 hari, mencetuskan harapan penyelesaian terhadap krisis.

Perkara itu dimaklumkan pemimpin gerakan belia yang menggelarkan diri mereka sebagai “Cockroach Janta Party” (CJP) selepas mengadakan rundingan dengan wakil kerajaan pada Jumaat.

Kerajaan diwakili Menteri Kesihatan dan Kebajikan Keluarga, Jagat Prakash Nadda, serta Menteri Sains dan Teknologi merangkap Menteri Negara di Jabatan Personel, Aduan Awam dan Pencen, Dr. Jitendra Singh.

Sementara itu, CJP diwakili jurucakapnya, Saurav Das dan Ashutosh Ranka.

Rundingan diadakan beberapa jam selepas aktivis terkenal, Sonam Wangchuk, menamatkan mogok lapar selama 26 hari, sekali gus mencetuskan harapan bahawa kedua-dua pihak mampu mencapai penyelesaian terhadap krisis berkenaan.

Terdahulu, puluhan ribu belia berhimpun di ibu negara, New Delhi, bagi mendesak peletakan jawatan Menteri Pendidikan susulan dakwaan kebocoran soalan peperiksaan yang disifatkan menjejaskan integriti sistem pendidikan negara.

Gelombang bantahan itu dianggap sebagai cabaran terbesar daripada golongan belia terhadap Perdana Menteri Narendra Modi sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2014.

Beberapa parti pembangkang turut menyatakan sokongan terhadap tuntutan penunjuk perasaan dan menggunakan isu berkenaan untuk mengganggu perjalanan sidang Monsun Parlimen yang bermula minggu ini. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.