KUALA PERLIS, 7 Februari- Seramai 66 atlet dan 7 jurulatih Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan menyertai kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (SUPTIM) kali ke-20.
Kejohanan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) mulai 10 hingga 14 Februari 2024 ini.
Rektor KUIPs, Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle menyerahkan bendera kejohanan kepada Ketua Kontijen yang juga Pemangku Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Alumni, Dr Mohd Aizul Yaakob di Dewan Auditorium KUIPs Kampus Kuala Perlis.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengharapkan semua atlet yang mengambil bahagian dapat menunjukkan semangat kesukanan sepanjang kejohanan yang akan disertai oleh 13 kontijen lain yang mengambil bahagian.
"Selain itu, setiap atlet perlu mengutamakan kesihatan masing-masing sambil bersukan dan merehatkan badan selain daripada berjuang untuk meraih kejayaan dalam kejohanan sukan yang diadakan setiap dua tahun sekali ini,"katanya.
KUIPs akan menyertai tujuh acara iaitu bola sepak, futsal, ping pong, badminton, bola jaring, memanah tradisional dan catur.