RTM buktikan keupayaan penyiar rasmi Piala Dunia 2026 – Menteri Komunikasi

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyaksikan Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Dataran Merdeka, malam tadi / Foto Facebook Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA, 20 Julai – Kejayaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan secara langsung kesemua perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 termasuk perlawanan akhir yang berlangsung awal pagi Isnin mendapat penghargaan daripada Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTM buktikan keupayaan menggunakan platform RTM Klik dan pasukan produksi berpengalaman memastikan siaran berjalan lancar dari aspek penyiaran dan teknikal.
  • Menteri kata isu yang dibangkitkan sebelum ini telah berjaya ditangani oleh pihak RTM.
  • Fahmi lihat RTM Klik berpotensi menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk menonton kandungan khusus RTM dan negara.
  • RTM sebagai penyiar rasmi Piala Dunia 2026 menyiarkan 104 perlawanan melalui TV Okey, Sukan+, TV1, TV2 serta penstriman RTMKlik.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan keupayaan RTM memanfaatkan platform RTM Klik, serta kekuatan pasukan produksi yang berpengalaman dalam memastikan siaran berlangsung dengan lancar dari aspek penyiaran dan teknikal.

“Sebelum ini, orang ramai ada membangkitkan beberapa isu dan kebanyakan isu tersebut telah berjaya ditangani oleh pihak RTM.

“Saya melihat tidak mustahil jika pada masa depan, RTM khususnya RTM Klik akan dapat memanfaatkan platform tersebut untuk menjadi tumpuan bagi rakyat Malaysia menonton kandungan khusus untuk RTM dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

RTM merupakan penyiar rasmi bagi Piala Dunia FIFA 2026, yang menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung dan ulangan.

Selain itu, siaran perlawanan turut ditawarkan melalui saluran TV Okey, Sukan+, TV1, TV2, serta secara penstriman di aplikasi mudah alih dan web RTMKlik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.