
ARAU, 20 Julai – Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi pentas pertarungan jaguh antarabangsa apabila pemain terbaik dunia berkumpul bagi merebut kejuaraan Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 dan Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26.
- Lebih 300 pemain dari 18 negara dan enam pasukan negeri dijangka berentap, menjadikan saingan lebih berprestij dan kompetitif.
- Pusat Sukan dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP melaksanakan penambahbaikan memastikan kemudahan memenuhi piawaian penganjuran antarabangsa.
- Laman bersaiz antarabangsa lebih tiga kilometer dengan 36 fairway menjadi ujian kemahiran, ketahanan fizikal, strategi dan kekuatan mental.
Lebih 300 pemain dari 18 negara serta enam pasukan negeri dijangka turun berentap dalam kejohanan berprestij itu, sekali gus menjadikan Perlis tumpuan peminat sukan woodball dunia.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Profesor Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan Pusat Sukan dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP bagi memastikan semua kemudahan memenuhi piawaian penganjuran antarabangsa.
“Persiapan menyeluruh itu penting bagi memastikan Malaysia bukan sahaja berjaya menganjurkan kejohanan dunia berkenaan, malah mampu mencipta pengalaman terbaik buat semua peserta antarabangsa.
“Ini penting bagi memastikan Malaysia mampu memberikan imej terbaik sebagai tuan rumah kejohanan dunia,” katanya ketika meninjau persiapan serta latihan pasukan Woodball Malaysia menjelang kejohanan yang berlangsung dari 25 hingga 30 Julai ini.
Laman woodball UniMAP berstatus lapangan bertaraf antarabangsa yang membentang sejauh lebih tiga kilometer dengan ’36 fairway’ dijangka menjadi ujian getir kepada setiap pemain, bukan sahaja dari aspek kemahiran teknikal, malah ketahanan fizikal, strategi permainan serta kekuatan mental.
Pemilihan UniMAP sebagai gelanggang utama kejohanan berprestij itu membuktikan reputasi universiti berkenaan dalam penganjuran pertandingan bertaraf dunia, selepas pernah menjadi tuan rumah Kejohanan Woodball Universiti Asia 2013 dan Kejohanan Woodball Universiti Dunia Ke-4 pada 2014.
Seramai 48 pemain negara bakal menggalas cabaran Malaysia dalam dua kejohanan berkenaan, dengan saingan dijangka sengit menerusi kehadiran pasukan hebat termasuk Indonesia dan Thailand yang pernah mencipta sejarah sebagai juara dunia.
Kejohanan ini bukan sekadar medan perebutan gelaran, malah menjadi platform penting mengangkat nama Malaysia sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran acara sukan antarabangsa, sekali gus memperkukuh perkembangan sukan woodball di peringkat global.