Teknologi pertanian pintar bantu kurangkan kebergantungan import – Penganalisis

Gambar Facebook Worldstar Agriculture machinery

KUALA LUMPUR, 9 April — Penggunaan teknologi pertanian pintar dilihat mampu membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap import input pertanian yang sensitif kepada turun naik harga tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi membolehkan penggunaan input seperti baja dan racun secara lebih efisien dan tepat melalui sensor dan fertigasi.
  • Mengurangkan kebergantungan tenaga buruh, menjimatkan kos pengeluaran dan memberi manfaat alam sekitar.
  • Sektor perladangan termasuk sawit menggunakan kira-kira 80 peratus penggunaan baja negara, menjadikannya terkesan dengan kenaikan kos input.
  • Pendekatan pertanian pintar memperkukuh daya tahan sistem makanan negara menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

Profesor Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Shaufique Sidique berkata pendekatan itu membolehkan penggunaan input seperti baja dan racun dilaksanakan secara lebih efisien dan tepat.

“Pertanian pintar membolehkan input disalurkan mengikut keperluan tanaman melalui penggunaan sensor dan teknik fertigasi, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh serta menjimatkan kos pengeluaran selain lebih mesra alam,” katanya kepada RTM selepas program Bual Biz.

Beliau yang juga Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berkata Malaysia kini berdepan peningkatan harga baja import, khususnya urea, yang dilaporkan meningkat sebanyak 46 peratus antara Februari dan Mac tahun ini susulan gangguan pasaran global.

Menurutnya, sektor perladangan termasuk industri sawit menggunakan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan penggunaan baja negara.

Ini sekali gus menjadikannya antara sektor paling terkesan dengan kenaikan kos input.

Beliau berkata pendekatan pertanian pintar mampu meningkatkan kecekapan sektor agromakanan, mengurangkan kos pengeluaran serta memperkukuh daya tahan sistem makanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.