
PUTRAJAYA, 18 Mac – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) meraih pelaburan digital diluluskan berjumlah RM87.4 bilion pada 2025, didorong terutamanya oleh pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), data raya, pusat data dan perkhidmatan awan.
- Pelaburan digital membentuk sebahagian besar daripada RM152.9 bilion yang diluluskan dalam subsektor maklumat dan komunikasi.
- Pelaburan dijangka mewujudkan lebih 31,000 pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan peluang pekerjaan dan keupayaan digital rakyat.
- Momentum menunjukkan peralihan ke pertumbuhan bernilai tinggi berasaskan AI, menyokong visi Negara AI menjelang 2030 dan dasar 'Dibangunkan oleh Malaysia'.
Pelaburan itu merangkumi sebahagian besar daripada RM152.9 bilion yang diluluskan dalam subsektor maklumat dan komunikasi, seperti dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu mencerminkan kejayaan strategi digital negara serta peralihan Malaysia ke arah pertumbuhan bernilai tinggi berteraskan AI.
“Semua dasar yang dilaksanakan jelas membuahkan hasil dan pencapaian ini mengesahkan kekuatan pelan tindakan digital negara dalam menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MDEC.
Beliau berkata pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 31,000 pekerjaan bernilai tinggi, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan keupayaan digital serta daya tahan ekonomi yang lebih kukuh.
Prestasi itu juga menandakan kemajuan berterusan Malaysia ke arah menjadi Negara AI menjelang 2030.
Dari segi sumber pelaburan, pelabur domestik menyumbang bahagian terbesar sebanyak RM36.66 bilion, diikuti pelabur dari Singapura (RM32.16 bilion), Amerika Syarikat (RM11.43 bilion) dan China (RM3.80 bilion).
Bagi penciptaan pekerjaan, sektor AI mendahului dengan lebih 12,600 jawatan, diikuti perkhidmatan perniagaan global (9,000), pusat data dan perkhidmatan awan (2,600), teknologi media kreatif (1,400) serta Internet Pelbagai Benda (1,100).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata, angka tersebut mencerminkan kematangan ekonomi digital yang kini beralih ke arah pertumbuhan bernilai tinggi berasaskan AI.
“Data ini menunjukkan sektor asas semakin stabil dan menjadi asas kepada fasa pertumbuhan seterusnya, khususnya dalam AI gunaan dan agentik,” katanya.
Jelas beliau, momentum itu menyokong matlamat jangka panjang Malaysia untuk menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan penekanan terhadap pembangunan produk, perkhidmatan dan penyelesaian AI tempatan di bawah visi “Dibangunkan oleh Malaysia”. – BERNAMA