
KUALA LUMPUR, 1 Sept. – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang tinggi dan ketidaktentuan mengenai prospek kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS, kata penganalisis.
- Peningkatan hasil bon Perbendaharaan AS 30 tahun kepada 5.25% mendorong kebimbangan tentang kenaikan kadar faedah Fed.
- Ucapan Pengerusi Fed Kevin Warsh di Simposium Jackson Hole menunjukkan inflasi masih tinggi dan pasaran kerja kukuh, isyarat kemungkinan kenaikan kadar.
- Tumpuan minggu ini pada data NFP, konsensus jangkaan peningkatan 58,000 pekerjaan bagi Ogos selepas kehilangan 23,000 bulan sebelumnya.
- Ketegangan AS-Iran menambah tekanan, harga minyak Brent naik sekitar US$90 setong; ringgit dijangka kekal berhati-hati.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0300/0350 berbanding dolar AS daripada 4.0230/0270 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil bon Perbendaharaan AS untuk tempoh 30 tahun terus meningkat secara berterusan kepada 5.25 peratus didorong oleh jangkaan bahawa Fed mungkin mengekalkan pendirian berhati-hati mengenai kadar faedah pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada 15-16 Sept ini.
“Ini susulan ucapan Pengerusi Fed Kevin Warsh pada Jumaat lepas di Simposium Jackson Hole apabila beliau secara jelas menyatakan bahawa inflasi masih tinggi manakala pasaran tenaga kerja kekal kukuh.
“Ini dilihat sebagai petunjuk ke arah kenaikan kadar faedah, yang dilihat bertentangan dengan matlamat Jabatan Perbendaharaan AS untuk menurunkan hasil bon jangka panjang melalui pelan pembelian balik bonnya,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata pada minggu ini, tumpuan akan diberikan kepada data jumlah pekerjaan sektor bukan perladangan (NFP), dengan anggaran konsensus menunjukkan peningkatan sebanyak 58,000 pekerjaan pada Ogos selepas mencatatkan kehilangan pekerjaan sebanyak 23,000 pada bulan sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, katanya ringgit dijangka kekal berhati-hati berbanding dolar AS berikutan serangan ketenteraan antara AS dan Iran yang berterusan, mendorong harga minyak mentah Brent meningkat kepada US$90.49 setong.
“Oleh itu, ringgit-dolar AS dijangka berada antara 4.02 dan 4.04 hari ini,” katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.4594/4662 daripada 5.4632/4687 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.6817/6875 daripada 4.6828/6874.
Bagaimanapun, ringgit menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5222/5255 daripada 2.5193/5219 sebelum ini.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.
Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1702/1747 daripada 3.1652/1686 dan berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.8 daripada 227.3/227.7 pada Jumaat lepas.
Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1525/1738 daripada 12.2087/2253 dan kekal mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47.- BERNAMA