Prestasi ekonomi kukuh, PublicInvest semak naik unjuran pertumbuhan KDNK 2026

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 kepada 5.4 peratus berbanding 4.6 peratus, sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • PublicInvest menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 selepas pertumbuhan suku kedua melebihi jangkaan, menunjukkan momentum lebih kukuh.
  • Pertumbuhan separuh kedua 2026 dijangka disokong oleh permintaan domestik, pelaksanaan pelaburan berterusan dan aktiviti teknologi seperti semikonduktor dan perbelanjaan AI.
  • Sumbangan sektor luaran dijangka merosot susulan perdagangan global lebih perlahan; tindakan perdagangan AS dan ketegangan Asia Barat kekal risiko utama.

Firma pelaburan itu menerusi nota penyelidikannya menjelaskan, semakan semula itu dibuat susulan pertumbuhan melebihi jangkaan sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua, menjadikan ekonomi pada separuh pertama 2026 berkembang pada 5.7 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan 2.5 peratus suku ke suku turut menunjukkan momentum pertumbuhan yang lebih kukuh memasuki separuh kedua 2026.

“Kami kini menjangkakan pertumbuhan kekal agak kukuh sekitar 5.1 peratus pada separuh kedua 2026, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaksanaan pelaburan yang berterusan serta aktiviti berkaitan teknologi yang kekal kukuh.

“Permintaan domestik dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, dengan perbelanjaan isi rumah terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan pendapatan yang stabil, kadar pengangguran yang rendah serta sokongan dasar,” katanya.

Jelas firma itu, pelaburan swasta yang menyederhana pada suku kedua 2026 tidak menunjukkan kelemahan ketara dalam kitaran pelaburan, berikutan perbelanjaan berterusan bagi struktur, mesin dan peralatan mencerminkan pelaksanaan projek masih berjalan.

Tambahnya, permintaan terhadap semikonduktor kekal kukuh, manakala perbelanjaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) terus menyokong rantaian pengeluaran elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

Bagaimanapun, sumbangan sektor luaran dijangka berkurangan pada separuh kedua susulan penyusutan semula aktiviti penghantaran awal dan pertumbuhan perdagangan global yang lebih perlahan.

Langkah perdagangan Amerika Syarikat (AS) serta gangguan berpanjangan di Asia Barat dilihat kekal sebagai risiko utama kepada pertumbuhan.

Sementara itu, Apex Securities Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi keseluruhan 2026 pada lima peratus, paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM), selepas semakan naik terbaharunya daripada 4.7 peratus.

Bagaimanapun, pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 telah menyebabkan risiko pertumbuhan lebih cenderung ke arah positif.

Firma itu menyatakan, pertumbuhan setahun penuh berpotensi mencapai antara 5.1 hingga 5.5 peratus, sekiranya momentum kukuh berterusan, disokong kekuatan eksport E&E dan pelaburan berkaitan AI.

“Bagaimanapun, unjuran KDNK 2026 kami sebanyak lima peratus tahun ke tahun menunjukkan pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 4.4 peratus pada separuh kedua 2026, sebahagiannya disebabkan kesan asas yang tinggi susulan pertumbuhan kukuh pada separuh kedua 2025.

“Pada masa sama, ketegangan di Asia Barat mungkin menjadi lebih ketara pada separuh kedua 2026 apabila risiko gangguan bekalan beralih kepada tekanan kos yang berterusan, seterusnya semakin menjejaskan pengeluaran dan pelaburan,” jelas firma itu.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.