
KUALA LUMPUR, 2 September –Pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), antara faktor yang diambil kira dalam menentukan hala tuju Kadar Dasar Semalaman, (OPR) Malaysia.
- Perubahan kadar faedah AS mempengaruhi Malaysia melalui aliran modal, kadar pertukaran ringgit dan pasaran kewangan.
- Kadar AS yang tinggi cenderung menekan aliran modal dan melemahkan ringgit, menjadi pertimbangan penting dasar monetari.
- Pelonggaran dasar Fed boleh mengurangkan tekanan, memberi lebih ruang kepada Bank Negara Malaysia menentukan hala tuju kadar.
- Pendekatan tunggu dan lihat serta mengekalkan OPR pada 2.75% dianggap munasabah selagi tiada kejutan besar.
Menurut Penganalisis Ekonomi & Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat (USIM), Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, perubahan kadar tersebut boleh memberi kesan kepada Malaysia menerusi pergerakan aliran modal, kadar pertukaran ringgit dan keadaan pasaran kewangan.
Tambah Profesor Dr. Nuradli, sekiranya kadar faedah AS kekal tinggi atau meningkat, perkembangan itu dijangka mempengaruhi aliran modal dan ringgit, sekali gus menjadi antara pertimbangan dalam penilaian dasar monetari negara.
Bagaimanapun, sekiranya sistem Rizab Persekutuan (Fed) AS mula melonggarkan dasar monetari, tekanan berkenaan boleh berkurangan dan memberi lebih banyak ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menentukan hala tuju kadar.
“Buat masa ini, pendekatan tunggu dan lihat atau mengekalkan kadar merupakan pilihan yang munasabah selagi tiada kejutan besar terhadap inflasi, pertumbuhan atau pasaran kewangan.
“Pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat memang penting, namun kesannya kepada Malaysia lebih banyak berlaku menerusi aliran modal,” katanya ketika dihubungi RTM.
Walaubagaimanapun, beliau berpandangan, keadaan semasa masih menyokong OPR dikekalkan pada 2.75 peratus, mengambil kira pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar, KDNK sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua serta inflasi sekitar 1.8 peratus pada Julai.
Prestasi eksport, khususnya sektor berkaitan teknologi yang masih baik turut menyokong jangkaan berkenaan.
Justeru, pendekatan mengekalkan kadar dilihat munasabah buat masa ini selagi tiada kejutan besar terhadap inflasi, pertumbuhan dan pasaran kewangan.