Bursa Malaysia pelawa maklum balas Fasa 2 peralihan sekuriti tanpa skrip

Fasa 2 akan memperluas rangka kerja dematerialisasi kepada semua sekuriti

KUALA LUMPUR, 1 September – Bursa Malaysia Bhd hari ini mengemukakan kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas mengenai pindaan yang dicadangkan untuk memudahkan Fasa 2 peralihan kepada sekuriti tanpa skrip yang didepositkan dengan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan melibatkan Peraturan Bursa Malaysia Depository dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama serta Pasaran ACE.
  • Menghapuskan keperluan sijil fizikal sebagai bukti pemilikan bagi sekuriti yang didepositkan.
  • Rundingan awam enam minggu bermula 1 September 2026 hingga 13 Oktober 2026 untuk mendapatkan maklum balas.

Dalam satu kenyataan, pengendali bursa itu berkata cadangan pindaan berkenaan melibatkan Peraturan Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd serta pindaan susulan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE.

Cadangan ini melibatkan penghapusan keperluan menerbitkan dan menyimpan sijil fizikal sebagai bukti hak milik atau pemilikan sekuriti yang didepositkan.

“Ia bertujuan menyokong proses depositori yang lebih cekap dan mampan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap dokumentasi bercetak serta memperkemas langkah-langkah utama dalam proses pendepositan sekuriti,” kata Bursa Malaysia.

Menurut bursa, kertas rundingan itu antara lain adalah untuk mendapatkan maklum balas awam meliputi penyederhanaan proses pendepositan sekuriti, penambahbaikan peranan penerbit dan pendaftar saham dalam proses berkenaan serta pengenalan peruntukan peralihan bagi pemulangan dan pembatalan skrip fizikal.

Fasa 1 peralihan itu dimulai pada 1 Ogos 2025, melibatkan lebih 2,700 penerbitan bagi sekuriti yang ditetapkan.

Bagi Fasa 2, ia akan memperluas rangka kerja dematerialisasi kepada semua sekuriti, sekali gus menjadi langkah penting ke arah persekitaran tanpa skrip fizikal, menurut Bursa Malaysia.

Rundingan awam itu akan berlangsung selama enam minggu, mulai 1 September 2026 hingga 13 Oktober 2026. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.