MyIKHLAS Umrah Savings Pot sasar 10,000 penyertaan aktif hujung tahun

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menyasarkan lebih 10,000 penyertaan aktif bagi tabung simpanan MyIKHLAS Umrah Savings Pot menjelang hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 3,000 pengguna telah menyertai MyIKHLAS; kira-kira 15% pencarum sudah capai sasaran dan bersedia menunaikan umrah.
  • Inisiatif memudahkan penabungan konsisten, membantu golongan B40 menunaikan umrah tanpa menanggung beban hutang selepas pulang.
  • Kerjasama dengan AEON Bank digital tawar pengalaman selamat, tiga pelan (3, 6, 12 bulan), sasaran minimum RM5,000 dan ganjaran penyimpan.

Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, setakat ini, kemudahan simpanan itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 3,000 pengguna telah mula menyertai inisiatif berkenaan bagi tujuan menunaikan ibadah umrah.

“Sejak diperkenalkan selepas Aidiladha tahun lalu, kira-kira 15 peratus daripada jumlah penyimpan telah berjaya mencapai sasaran simpanan masing-masing dan kini bersedia untuk menunaikan umrah.

“Kita mahu lebih ramai masyarakat membudayakan amalan menabung sebagai persediaan untuk menunaikan umrah,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, inisiatif itu direka khas bagi memudahkan proses menabung selain membantu pelanggan menyimpan secara konsisten dan merancang bajet untuk tujuan bermakna seperti ibadah umrah, korban serta perjalanan mesra Muslim.

Sementara itu, Penasihat Komersial ikhlas.com, Datuk Rosyam Nor berkata, inisiatif tersebut turut membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menunaikan ibadah tanpa perlu menanggung beban hutang selepas pulang.

“Kita tidak mahu orang pergi umrah dalam keadaan berhutang sama ada dengan bank atau saudara-mara. Objektif kami adalah membantu golongan B40 menabung secara berperingkat supaya mereka dapat pergi dan pulang dari umrah dengan lebih tenang,” katanya.

Sebelum ini, AEON Bank (M) Berhad, bank digital Islam pertama di Malaysia, bekerjasama dengan ikhlas.com memperkenalkan tabung simpanan dikenali sebagai MyIKHLAS Umrah Savings Pot.

Pendekatan digital sepenuhnya itu menawarkan pengalaman pengguna yang pantas, selamat dan mesra pengguna, selain memudahkan pelanggan menjejak perkembangan simpanan mereka.

Inisiatif itu juga menggalakkan pelanggan menabung dengan matlamat yang jelas, serta menawarkan pelbagai ganjaran kepada penyimpan yang berjaya mencapai sasaran tabungan mereka termasuk baucar dan mata ganjaran.

Turut disediakan, tiga pelan simpanan iaitu bagi tempoh tiga bulan, enam bulan dan 12 bulan dengan sasaran minimum RM5,000, selari dengan pakej umrah ikhlas.com yang bermula daripada RM4,990.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.