
KUALA LUMPUR, 29 Mei -Kementerian Kewangan (MOF) mengarahkan syarikat peruncit minyak memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) pengesahan MyKad bagi setiap transaksi BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
- Penggunaan MyKad orang lain tanpa kebenaran adalah kesalahan di bawah Peraturan 25; boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara hingga tiga tahun.
- MOF arah siasatan lanjut terhadap transaksi yang melanggar SOP serta tindakan susulan dan perkuat pemantauan dalaman di stesen minyak.
- Penerima BUDI95 digalakkan semak rekod transaksi melalui portal rasmi, buat laporan polis untuk transaksi tidak dibenarkan dan kemukakan aduan dalam 30 hari.
Langkah itu susulan beberapa aduan mutakhir melibatkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi transaksi bawah program BUDI95.
MOF dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang urus niaga yang dilakukan secara manual tanpa pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu adalah tidak dibenarkan kerana ia membuka ruang kepada transaksi tanpa kebenaran, penyalahgunaan subsidi dan pelanggaran integriti pelaksanaan program.
“MoF juga telah mengarahkan syarikat peruncit minyak untuk menjalankan siasatan lanjut ke atas transaksi yang dikenal pasti melanggar SOP, dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap stesen yang terlibat, serta memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan pematuhan berterusan di semua stesen minyak,” menurut kenyataan itu.
Jelas MOF, penggunaan atau pemilikan MyKad milik individu lain tanpa kuasa yang sah merupakan satu kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, MOF memberi amaran keras supaya tiada pihak menggunakan nombor atau maklumat MyKad individu lain tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi BUDI95.
Antara langkah pembetulan yang turut dilaksanakan termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran serta penyaluran pampasan bersesuaian kepada pelanggan yang terkesan, tertakluk kepada hasil siasatan.
MoF turut memaklumkan syarikat peruncit minyak telah diarahkan menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.
“MoF akan terus memantau corak transaksi BUDI95 di semua stesen minyak dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan SOP atau penyalahgunaan subsidi bersasar,” kata kenyataan itu lagi.
Penerima BUDI95 digalakkan menyemak rekod transaksi mereka melalui portal rasmi BUDI MADANI dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi tanpa kebenaran.
Mereka yang terkesan juga boleh membuat aduan kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI dalam tempoh 30 hari selepas kejadian dengan melampirkan laporan polis, salinan kad pengenalan serta senarai transaksi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Aduan boleh dikemukakan menerusi talian 1300-88-9595, WhatsApp di +603-2631 4595 atau e-mel ke tanya@budi95.gov.my.