
KUALA LUMPUR, 6 November – Sebarang keputusan berkaitan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mengambil kira perkembangan ekonomi dan tekanan harga domestik dari semasa ke semasa.
- Pertumbuhan ekonomi dijangka kukuh pada 2027, didorong oleh eksport, pelancongan dan permintaan domestik yang berdaya tahan.
- BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.
- Inflasi kini terkawal sekitar 1.8 peratus, namun BNM berwaspada terhadap tekanan kos dan permintaan domestik.
- Pertumbuhan global kekal berdaya tahan disokong pelaburan teknologi dan pasaran pekerja yang stabil.
Ketua Penyelidikan Ekonomi CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Nazmi Idrus berpendapat inflasi ketika ini masih terkawal, namun momentum pertumbuhan ekonomi yang dijangka kukuh tahun depan, memerlukan pemantauan berterusan bertujuan memastikan dasar monetari, selaras keadaan ekonomi semasa.
Mengulas keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, katanya keputusan itu selari jangkaan pasaran.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia masih kukuh didorong eksport, pelancongan dan permintaan domestik yang berdaya tahan.
“Inflasi juga terkawal pada kadar 1.8 peratus setakat tahun ini, namun BNM dilihat lebih berhati-hati terhadap tekanan kos dan permintaan domestik,”katanya dalam hantaran video kepada RTM.
Beliau berkata, walaupun tekanan inflasi ketika ini masih terkawal, BNM menjangkakan kadar inflasi meningkat sedikit pada tahun hadapan, sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa.
Semalam, BNM mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir bagi tahun ini.
Bank pusat dalam kenyataan memaklumkan, pertumbuhan ekonomi global terus berdaya tahan, didorong pelaburan teknologi global yang kukuh serta pasaran pekerja yang stabil.