
KUALA LUMPUR, 6 November – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) akan terus menilai keperluan pelarasan harga produk susulan peningkatan kos komoditi dan bahan mentah, selain memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi bagi mengurus tekanan kos.
- Memberi tumpuan kepada analisis penggunaan sumber, pengurusan pertumbuhan hasil dan peningkatan kecekapan operasi untuk mengurus tekanan kos.
- Hasil tahun kewangan 2026 susut 5.3 peratus kepada RM4.92 bilion; keuntungan operasi turun 13.6 peratus.
- Prestasi dipengaruhi cabaran operasi di Indochina, perubahan kadar pertukaran asing dan kos pelaburan strategik seperti F&N AgriValley.
- Untuk 2027 fokus pada peningkatan produktiviti F&N AgriValley, pengeluaran berperingkat dan pengukuhan rangkaian pengedaran di Kemboja.
Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Tarang Gupta berkata, kumpulan itu telah melaksanakan beberapa pelarasan harga pada suku lalu dan akan terus menilai keadaan semasa dengan mengambil kira kesannya terhadap pengguna.
“Jika diberi pilihan, kami tidak mahu memindahkan sepenuhnya kenaikan harga global kepada pengguna. Ini memerlukan pendekatan seimbang.
“Kami telah membuat beberapa pelarasan harga pada suku lalu.
“Perkara ini akan terus dinilai kerana ia turut menjadi kebimbangan masyarakat. Kami juga pengguna,” katanya.
Menurut beliau, F&N turut memberi perhatian kepada analisis penggunaan sumber, pengurusan pertumbuhan hasil dan peningkatan kecekapan operasi sebagai sebahagian daripada langkah mengurus kos.
“Kami sedang menganalisis penggunaan sumber, melaksanakan pengurusan pertumbuhan hasil serta meningkatkan kecekapan operasi.
“Semua ini merupakan sebahagian daripada pendekatan kami,” katanya ketika sesi soal jawab pada taklimat keputusan kewangan tahun penuh F&N bagi 2026, di sini.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026, F&N mencatatkan hasil sebanyak RM4.92 bilion, susut 5.3 peratus berbanding RM5.20 bilion pada tahun sebelumnya.
Keuntungan operasi kumpulan turut berkurangan 13.6 peratus kepada RM644.2 juta berbanding RM745.5 juta, manakala keuntungan sebelum cukai menyusut 14.4 peratus kepada RM625.4 juta.
Menurut kenyataan kumpulan, prestasi kewangan itu antara lain mencerminkan cabaran operasi di rantau Indochina, kesan perubahan kadar pertukaran mata wang asing serta kos berkaitan pelaburan strategik kumpulan, khususnya F&N AgriValley.
Bagi tahun kewangan 2027, F&N akan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan operasi F&N AgriValley, selain meningkatkan pengeluaran secara berperingkat serta memperkukuh rangkaian pengedaran di Kemboja.