
KUALA LUMPUR, 6 November – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) meningkat 3.6 peratus pada suku ketiga 2026, berbanding 2.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.
- Indeks kesenian, hiburan dan rekreasi naik 8.2% disumbang oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain.
- Indeks penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 6.5%, disumbang restoran dan perkhidmatan makanan bergerak.
- Indeks pengangkutan meningkat 6.3%, terutamanya pengangkutan penumpang udara naik 23.4%.
- Secara suku tahunan, IHPRP meningkat 0.7% disokong kenaikan kesenian, hiburan serta indeks pengangkutan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, indeks kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat 8.2 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, disumbangkan oleh aktiviti hiburan dan rekreasi lain (4.0 peratus).
”Indeks penginapan serta aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman meningkat 6.5 peratus, selepas naik 6.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.
”Peningkatan itu disumbangkan oleh indeks restoran dan aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (5.9 peratus) serta aktiviti perkhidmatan minuman (2.9 peratus),”jelas DOSM menerusi kenyataan.
Selain itu, indeks pengangkutan meningkat 6.3 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku sebelumnya, disumbangkan terutamanya oleh indeks pengangkutan penumpang udara yang meningkat 23.4 peratus.
Sementara itu, indeks pendidikan menokok 2.2 peratus selepas kenaikan 2.1 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh pendidikan menengah (2.1 peratus) dan pendidikan tinggi (1.6 peratus).
Indeks lain yang mencatatkan kenaikan masing-masing adalah kesihatan(1.7 peratus), aktiviti hartanah (1.3 peratus) dan profesional (1.0 peratus).
Dalam pada itu, indeks maklumat dan komunikasi mencatatkan peningkatan 0.4 peratus, berbanding 0.3 peratus pada suku sebelumnya.
Pada asas suku tahunan, IHPRP meningkat 0.7 peratus berbanding 1.1 peratus pada suku tahun sebelumnya didorong antaranya kenaikan dalam indeks kesenian, hiburan dan rekreasi sebanyak 3.2 peratus serta indeks pengangkutan (1.4 peratus).