
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Malayan Banking Berhad (Maybank) memeterai Perjanjian Pelaksanaan (IA) bersama Ageas Insurance International NV (Ageas) untuk memiliki baki 30.95 peratus pegangan dalam anak syarikatnya, Maybank Ageas Holdings Berhad (MAHB) pada nilai RM4.83 bilion.
- Pengambilalihan dijangka memberi impak positif kepada prestasi kewangan kumpulan serta menyokong penciptaan nilai kepada pemegang saham.
- Transaksi akan meningkatkan keuntungan selepas cukai, pendapatan sesaham dan pulangan atas ekuiti, memberi nilai segera kepada pemegang saham.
- Pemilikan penuh dijangka memperkukuh penyepaduan perkhidmatan perbankan, insurans dan takaful untuk pengalaman pelanggan lebih lancar.
- Penggabungan disokong pembaharuan teknologi; proses tertakluk kelulusan Bank Negara Malaysia dan disasarkan dimuktamadkan menjelang akhir suku ketiga 2026.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, pelaksanaan transaksi itu akan membolehkan Maybank memiliki sepenuhnya MAHB, yang merupakan syarikat induk kepada perniagaan insurans dan takaful Etiqa.
Pengambilalihan berkenaan dijangka memberi impak positif terhadap prestasi kewangan kumpulan, selain menyokong penciptaan nilai kepada pemegang saham.
“Transaksi ini akan meningkatkan keuntungan selepas cukai, pendapatan sesaham dan pulangan atas ekuiti, sekali gus memberi nilai segera kepada pemegang saham.
“Kami juga optimis bahawa menerusi pertumbuhan berterusan MAHB serta kerjasama lebih erat dengan kumpulan perbankan, nilai yang lebih besar dapat terus diwujudkan untuk pemegang saham pada masa hadapan,” katanya dalam taklimat media mengenai pengambilalihan tersebut secara maya.
Tambahnya, pemilikan penuh itu juga dijangka memperkukuh penyepaduan antara perkhidmatan perbankan, insurans dan takaful Maybank.
Menerusi langkah integrasi itu, pelanggan akan memperoleh akses lebih mudah dan lancar kepada pelbagai produk, termasuk insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am.
Usaha itu juga turut disokong pelaksanaan pembaharuan teknologi bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan mengikut keperluan setiap segmen pelanggan.
Mengulas selanjutnya, cadangan pengambilalihan itu tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia selepas Maybank mengemukakan permohonannya kepada bank pusat.
Bank itu juga menyasarkan transaksi berkenaan dimuktamadkan menjelang akhir suku ketiga 2026.