
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Perodua mengumumkan pengurangan harga sehingga RM4,700 bagi model Axia berkuat kuasa serta-merta, menjadikan ia kekal sebagai kenderaan kompak paling mampu milik di negara ini.
- Perodua kata pengurangan harga hasil peningkatan berterusan kecekapan operasi syarikat.
- Empat varian Axia kini dijual antara RM33,900 hingga RM49,000 (Semenanjung) dan RM35,900 hingga RM51,000 (Sabah Sarawak), tidak termasuk insurans.
- Harga baharu bertujuan membantu pelanggan menghadapi persekitaran ekonomi mencabar dan mengurangkan tekanan kos.
- Spesifikasi dan standard kualiti Axia kekal sama; penjimatan dicapai melalui proses lebih cekap dan kerjasama pembekal.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pengurangan harga itu dibuat susulan peningkatan berterusan dalam kecekapan operasi syarikat.
“Harga baharu ini juga adalah antara usaha Perodua untuk membantu pelanggan menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar dan mengurangkan tekanan kos yang dihadapi rakyat Malaysia.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen kami untuk terus menambah baik kecekapan operasi, yang mana sebelum ini telah terbukti menerusi pengurangan kos servis dan pengurangan harga QV-E dan pakej Battery as a Service (BaaS) yang ditawarkan,” tambahnya.
Pengumuman terkini itu menjadikan empat varian Axia dijual pada harga antara RM33,900 hingga RM49,000 bagi Semenanjung.
Bagi pasaran Sabah dan Sarawak, julat harga baharu bagi model itu kini antara RM35,900 hingga RM51,000, tidak termasuk kos insurans.
Walaupun terdapat pengurangan harga, kesemua spesifikasi dan standard kualiti Perodua Axia kekal tidak berubah.
Jelas beliau, penjimatan yang diperoleh adalah sepenuhnya daripada penambahbaikan proses, kecekapan operasi serta kerjasama baik dengan pembekal dan rakan kongsi dalam ekosistem automotif.
Tambahnya, pelarasan harga yang dibuat turut memastikan model kereta itu boleh diakses oleh lebih ramai pelanggan di seluruh negara.