
PUTRAJAYA, 30 Jun – Malaysia menyasarkan pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) mencecah 5 peratus menjelang 2030 sebagai sebahagian usaha mengurangkan pelepasan karbon daripada industri penerbangan.
- Malaysia perlu berani menjadi hab penerbangan mampan Asia Tenggara; negara ada minyak masak, minyak sawit dan sisa minyak sawit.
- Peralihan ke penerbangan mampan membuka peluang tarik pelaburan berkualiti, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan tingkatkan daya saing rantaian aeroangkasa.
- Malaysia mempunyai kelebihan dalam pembuatan dan perkhidmatan MRO, meletakkan negara pada kedudukan strategik sokong industri penerbangan rendah karbon.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin memberitahu sasaran itu dilihat realistik untuk dicapai memandangkan Malaysia mempunyai sumber bahan mentah mencukupi bagi menyokong pengeluaran bahan api berkenaan.
“Pihak industri kini sedang mengemukakan cadangan untuk mencapai kira-kira 5 peratus SAF menjelang 2030 dan bukan sesuatu yang mudah kerana kita perlu mempunyai keseluruhan rantaian bekalan.
“Namun, Malaysia perlu berani untuk menjadi hab penerbangan mampan Asia Tenggara, khususnya hab bahan api penerbangan mampan, kerana kita mempunyai sumber bahan mentah yang besar. Kita mempunyai minyak masak, minyak sawit dan sisa minyak sawit. Jadi perkara-perkara ini boleh kita usahakan bersama,” katanya selepas MyAERO Sustainable Aviation APAC Symposium 2026.
Tambah beliau, peralihan ke arah penerbangan mampan itu juga membuka peluang ekonomi strategik untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.
Beliau turut memaklumkan, sektor penerbangan yang kini menyumbang kira-kira 2 hingga 3 peratus daripada pelepasan karbon dioksida global telah mendorong kerajaan dan pemain industri di seluruh dunia mempercepat pelaburan dalam teknologi mampan.
“Dengan permintaan perjalanan udara yang terus meningkat, jumlah ini boleh bertambah sekiranya tiada tindakan segera diambil. Oleh sebab itu, kerajaan dan industri di seluruh dunia mempercepat pelaburan dalam Sustainable Aviation Fuel (SAF), teknologi hidrogen, kecekapan pesawat, pengoptimuman digital serta pembuatan kitaran mampan,” katanya lagi.
Bagaimanapun katanya, Malaysia mempunyai kelebihan dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO), sekali gus meletakkan negara pada kedudukan strategik untuk menyokong perubahan global ke arah industri penerbangan rendah karbon.