
KUALA LUMPUR, 6 September – Penantian atlet olahraga HELP University, Darren James Nair untuk bergelar Olahragawan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) berakhir apabila beliau dinobatkan sebagai penerima anugerah itu pada SUKIPT 2026, hari ini.
- Meraih tiga pingat emas dan memecahkan rekod kejohanan dalam 10,000m, 5,000m serta 3,000m lari berhalangan.
- Pencapaian ini menebus kekecewaan edisi lalu; Darren anggap pengiktirafan sebagai rezeki dan masih terasa seperti mimpi.
- Syahida Asyiqin Rusli raih emas kayak TK1 200m wanita dan memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 56.30 saat.
Pengiktirafan itu hadir selepas pelari kebangsaan berusia 24 tahun berkenaan mencipta prestasi cemerlang dengan meraih tiga pingat emas dalam acara 10,000 meter, 5,000 meter dan 3,000 meter lari berhalangan, selain memecahkan rekod kejohanan bagi ketiga-tiga acara itu.
Pencapaian berkenaan turut menebus kekecewaan Darren James pada penampilan sulungnya di SUKIPT apabila beliau meraih tiga emas dan memecahkan tiga rekod kejohanan, namun terlepas gelaran Olahragawan.
Beliau mengakui pengiktirafan itu di luar jangkaan dan menyifatkannya sebagai rezeki selepas kekecewaan pada edisi lalu.
“Pada edisi pertama sebelum ini, saya menang tiga emas dan memecahkan tiga rekod, tetapi ketika itu saya tidak dinobatkan sebagai Olahragawan kerana ada atlet lain yang memecahkan rekod kebangsaan.
“Jadi, saya rasa kali ini rezeki tidak pernah salah alamat. Kali ini saya dapat gelaran Olahragawan dan sejujurnya saya sendiri tidak tahu nak kata apa. Saya dapat berita ini pada pukul 12.30 tengah hari tadi dan dua jam kemudian saya sudah berada di sini. Jadi, ia masih terasa seperti mimpi bagi saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), hari ini.
Selepas ini, Darren James menyasarkan penampilan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) sebelum meneruskan misi pada Sukan SEA 2027, dengan acara 5,000 meter menjadi sasaran utamanya.
Sementara itu, atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Syahida Asyiqin Rusli dinobatkan sebagai Olahragawati SUKIPT 2026 selepas meraih pingat emas dalam acara kayak TK1 200 meter wanita dengan catatan 56.30 saat.
Catatan itu turut menyaksikan Syahida memecahkan rekod kebangsaan 57.29 saat.