Piala Asia Remaja: Young Tigers benam Bangladesh 4-2

Aksi sengit Bangladesh menentang Malaysia menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan kemahiran dan semangat juang tinggi/Foto Asian Hockey Federation

MOQI, China, 6 September – Skuad hoki remaja lelaki negara meneruskan rentak kemenangan dalam kempen Piala Asia Remaja 2026 selepas menewaskan Bangladesh 4-2 pada aksi Kumpulan B di Pangkalan Latihan Moqi, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • G. Dheeressh unggul dari pukulan sudut penalti (min 21); Shelston Silverius menggandakan kelebihan dua minit kemudian.
  • Bangladesh bangkit, Md Abdullah (min 24) dan Hassan Mahadey (min 33) menyamakan kedudukan.
  • Shafiq Ammar Fahmi Suzaini menjaringkan dua gol pada minit 48 dan 51 untuk kembali meletakkan Malaysia di depan.
  • Nor Saiful puji peningkatan permainan namun mahu perbaiki penyudah dan kawalan serangan balas sebelum berdepan Pakistan.

Kemenangan itu menyaksikan Young Tigers meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Kazakhstan 8-0 pada aksi pembukaan.

Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti G. Dheeressh, sebelum Shelston Silverius menggandakan kelebihan dua minit kemudian.

Bagaimanapun, Bangladesh bangkit menyamakan kedudukan dalam tempoh sembilan minit menerusi gol padang Md Abdullah pada minit ke-24 dan Hassan Mahadey pada minit ke-33.

Skuad negara kembali di hadapan pada minit ke-48 menerusi jaringan Shafiq Ammar Fahmi Suzaini sebelum pemain itu melengkapkan gol keduanya tiga minit kemudian untuk memastikan kemenangan 4-2 Malaysia.

Ketua jurulatih, Nor Saiful Zaini Suazaini menyifatkan persembahan anak buahnya lebih baik berbanding aksi pembukaan, namun mengakui aspek penyudah dan kawalan terhadap serangan balas masih perlu diperbaiki.

“Pasukan bermain lebih baik berbanding semalam. Kita mencipta lebih banyak peluang dan berjaya menjaringkan empat gol, tetapi masih mensia-siakan beberapa peluang.

“Bangladesh pula bagus dalam serangan balas, namun pemain kita cepat menutup ruang dan berjaya menghalang mereka daripada menghasilkan lebih banyak peluang,” katanya.

Young Tigers akan berdepan juara tiga kali Pakistan pada Selasa sebelum menamatkan saingan kumpulan menentang tuan rumah China, Rabu.

Aksi sengit Malaysia menentang Bangladesh di Moqi, China, hari ini/Foto Asian Hockey Federation

Nor Saiful berkata, persiapan menghadapi Pakistan akan memberi tumpuan kepada penelitian corak permainan lawan selain mengenal pasti kekuatan mereka yang perlu disekat menerusi pendekatan taktikal.

“Kita perlu lihat bagaimana Pakistan bermain kerana mereka adalah pasukan yang cukup kuat. Kita perlu tahu cara bermain secara taktikal, terutama bagaimana untuk menutup kekuatan mereka.

“Jika kita dapat mengawal rentak permainan dan melaksanakan perancangan dengan baik, insya-Allah kita mampu menampilkan permainan yang lebih baik,” katanya.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Pakistan, Bangladesh, China dan Kazakhstan, manakala Kumpulan A dihuni India, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Indonesia.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.