Media sosial kekal platform digital utama perniagaan

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 30 Jun– Media sosial kekal menjadi platform digital utama perniagaan di Malaysia dengan kadar penggunaan mencecah 80.3 peratus pada 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Media sosial kekal platform digital utama bagi perniagaan, menjadi saluran penting untuk capaian pasaran dan penglibatan pelanggan.
  • 74.4% pertubuhan mempunyai kehadiran dalam talian pada 2024, meningkat daripada 72.7% tahun sebelumnya.
  • Penggunaan ICT meluas: 97.2% guna komputer dan 95.3% mempunyai akses internet menyokong operasi perniagaan.
  • E-dagang berkembang; pendapatan meningkat 8.8% kepada RM1.29 trilion pada 2024 berbanding RM1.18 trilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penggunaan itu mengatasi platform digital lain.

Jelas beliau laman web milik sendiri digunakan sebanyak 58.7 peratus, e-pasaran (44.1 peratus) dan laman web yang dihoskan oleh entiti lain (38.0 peratus).

Sementara itu, pendigitalan dalam kalangan perniagaan terus bertambah apabila 74.4 peratus pertubuhan mempunyai kehadiran dalam talian pada 2024.

Jumlah itu meningkat berbanding 72.7 peratus pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan penggunaan saluran digital ini mencerminkan usaha berterusan perniagaan untuk meluaskan capaian pasaran.

Ia juga meningkatkan penglibatan pelanggan dan memperkukuh kehadiran jenama masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan Statistik Penggunaan ICT dan E-Dagang oleh Pertubuhan, 2025 yang menggunakan tahun rujukan 2024.

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir memaklumkan, 97.2 peratus pertubuhan menggunakan komputer, manakala 95.3 peratus mempunyai akses internet bagi menyokong operasi perniagaan.

Tambah beliau, penggunaan teknologi 5G meningkat kepada 33.0 peratus pada 2024 berbanding 30.6 peratus pada 2023.

Pada masa sama, liputan rangkaian 4G dan 5G masing-masing mencapai 98.7 peratus dan 82.4 peratus di seluruh negara.

Perkembangan itu turut menyokong pertumbuhan e-dagang apabila pendapatannya meningkat 8.8 peratus kepada RM1.29 trilion pada 2024 berbanding RM1.18 trilion pada tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhannya, dapatan laporan ini menunjukkan transformasi digital sektor perniagaan Malaysia terus berkembang pesat.

Ia dipacu penggunaan ICT yang meluas, kesalinghubungan digital yang kukuh serta pertumbuhan mampan aktiviti e-dagang,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.