Belanjawan 2027: Peruntukan lebih tinggi mampu rancakkan pelancongan domestik

Pelancong menikmati pemandangan menarik panorama Gunung Kinabalu dari sebuah perkampungan di daerah Tambunan, Sabah. / Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 September – Insentif cukai dan peruntukan lebih tinggi diharap disediakan dalam Belanjawan 2027 bagi merancakkan sektor pelancongan domestik, sekali gus menggalakkan lebih banyak perbelanjaan dalam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalkan atau tingkatkan potongan cukai untuk pengubahsuaian premis supaya pengusaha lebih kompetitif dan aktif dalam promosi serta pemasaran.
  • Peruntukan lebih tinggi kepada negeri dapat menyerlahkan keunikan destinasi dan membolehkan inisiatif perhotelan, ekopelancongan dan aktiviti berkaitan.
  • Luaskan insentif, diskaun, baucar atau rebat serta teruskan pelepasan cukai untuk kemasukan pusat pelancongan bagi meringankan kos percutian golongan berpendapatan rendah.

Pengurus Operasi Tourism Johor, Jeffri Munir berkata, potongan cukai bagi pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga RM500,000 di bawah Belanjawan 2026 wajar ditingkatkan atau sekurang-kurangnya dikekalkan.

“Langkah itu dapat membantu pemain industri untuk terus bergiat aktif dan lebih kompetitif dalam melaksanakan aktiviti promosi dan pemasaran,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, Eksekutif Kanan Tourism Selangor, Ahmad Danial Khairudin berharap peruntukan pelancongan lebih tinggi dapat disediakan kepada semua negeri bagi menyerlahkan keunikan dan potensi setiap destinasi.

“Pada asasnya, lebih banyak peruntukan bermakna lebih banyak inisiatif dan aktiviti yang boleh dijalankan, termasuk melibatkan sektor perhotelan, ekopelancongan serta aktiviti-aktiviti berkaitan,” katanya.

Pelancong tempatan pula berharap pemberian insentif dapat diperluas kepada lebih banyak produk bagi membantu mengurangkan kos percutian dalam negara.

Penjawat awam, Nurdiana Puaadi menyifatkan bantuan seumpama itu boleh membantu golongan berpendapatan rendah merancang percutian bersama keluarga dengan kos lebih berpatutan.

“Saya harap akan ada bantuan, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah, dalam bentuk diskaun, baucar atau rebat.

“Ini termasuk kepada pengusaha juga supaya mereka dapat menawarkan pakej yang lebih berpatutan dan mampu dibeli oleh rakyat,” katanya.

Seorang lagi penjawat awam, Wan Khairul Wan Harun berharap kerajaan meneruskan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Menurut beliau, insentif itu berpotensi menggalakkan rakyat berbelanja dalam negara, sekali gus memberi limpahan kepada ekonomi tempatan.

“Kalau lebih ramai rakyat berbelanja dalam negara, lebih rancak ekonomi kita. Pada masa sama, kita juga berharap pihak hotel dapat menawarkan lebih banyak diskaun supaya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat berbelanja dan bercuti dalam negara,” katanya.

Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.