
KUALA LUMPUR, 30 Jun – Tekanan kos yang semakin meningkat terus menjadi cabaran utama perniagaan di Malaysia, dengan pengurusan tenaga kini menjadi keutamaan dalam usaha mengurangkan perbelanjaan operasi.
- Sentimen perniagaan kekal positif walau PKS lebih berhati-hati disebabkan ketidaktentuan ekonomi.
- Tiga daripada empat perniagaan anggap pengurusan tenaga penting; 84% syarikat pembuatan mengutamakan kecekapan tenaga.
- 48% fokus kurangkan penggunaan tenaga, 44% usaha turunkan kos tenaga, 40% utamakan bekalan tenaga stabil.
- Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM bersama UOB membantu PKS urus aliran tunai dan tingkat daya tahan jangka panjang.
Menurut Kajian Tinjauan Perniagaan UOB 2026, secara keseluruhan sentimen kekal positif, namun perusahaan kecil mengambil pendekatan lebih berhati-hati, susulan ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.
”Kajian mendapati 77 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih mengekalkan prospek perniagaan yang positif tahun ini.
”Bagaimanapun, hampir tiga daripada 10 PKS terus berdepan tekanan daripada peningkatan kos operasi, kos tenaga kerja yang tinggi serta kenaikan kadar faedah, sekali gus mendorong mereka memperketat strategi pengurusan kos,” jelas UOB dalam kenyataan.
Kira-kira tiga daripada empat perniagaan menganggap pengurusan dan kecekapan tenaga sebagai aspek penting, dengan 84 peratus syarikat dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan perindustrian menjadikannya sebagai keutamaan.
Selain itu, 48 peratus perniagaan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan penggunaan tenaga, 44 peratus berusaha menurunkan kos tenaga manakala 40 peratus mengutamakan bekalan tenaga yang stabil dan boleh dipercayai bagi memastikan kelangsungan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei memaklumkan syarikat bersaiz sederhana berada pada kedudukan lebih baik untuk melaksanakan inisiatif kecekapan tenaga menerusi penyelesaian khusus mengikut sektor.
“Bagi syarikat yang lebih kecil dan berdepan kekangan kewangan, Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS Bank Negara Malaysia (BNM), yang dilengkapi dengan sokongan UOB Malaysia, membantu perniagaan mengurus tekanan aliran tunai, mengekalkan operasi dan mengharungi keadaan pasaran yang sentiasa berubah,” katanya.
UOB Malaysia turut memperkukuh sokongan pembiayaannya menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS BNM bagi membantu perniagaan mengurus cabaran aliran tunai, termasuk ketika berdepan gangguan luaran, di samping menyediakan penyelesaian kewangan bagi meningkatkan daya tahan jangka panjang PKS.
Kajian Tinjauan Perniagaan UOB yang memasuki tahun ketujuh pelaksanaan kini dijalankan dua kali setahun dan meliputi tujuh pasaran iaitu Singapura, Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam, China dan Hong Kong.