Yayasan Peneraju sasar lahir 2,000 bakat Bumiputera reka cip menjelang 2027

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Jun– Yayasan Peneraju (YP) menyasarkan untuk melahirkan lebih 2,000 bakat Bumiputera dalam reka cip ‘front-end’ menjelang 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyokong sasaran Kementerian Ekonomi melahirkan 10,000 profesional reka bentuk litar bersepadu (IC) di seluruh negara.
  • Inisiatif dilaksanakan secara berfasa, bermula pembangunan 150 bakat pada 2026, kumpulan pertama dijangka mula Ogos.
  • Latihan diiktiraf industri membangunkan bakat Bumiputera selaras mandat YP untuk menyokong daya saing jangka panjang negara.
  • YP diseru fokus pada sektor berpertumbuhan tinggi; sasaran 7,000 pendaftaran program teknologi 2026 dan 15,000 bakat setahun menjelang 2028.

Menurut kenyataan YP, ia bagi menyokong sasaran Kementerian Ekonomi untuk melahirkan 10,000 bakat profesional dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) di seluruh negara.

Inisiatif itu akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan pembangunan 150 bakat pada 2026.

“Kumpulan pertama peserta dijangka memulakan program pada Ogos tahun ini, sebelum ia diperluas bagi mencapai sasaran lebih 2,000 bakat menjelang 2027.

Ia sekali gus memperkukuh saluran pembangunan bakat semikonduktor negara,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani berkata, pembangunan bakat muda menerusi latihan yang diiktiraf industri selaras dengan mandat yayasan untuk melahirkan bakat Bumiputera dalam bidang yang menyokong daya saing jangka panjang Malaysia.

“Inisiatif ini juga mencerminkan peranan YP yang semakin berkembang dalam membangunkan profesional Bumiputera dalam industri berimpak tinggi dan strategik, sejajar dengan peralihan kami daripada membangunkan Pencipta Kekayaan kepada Pencipta Nilai.

Pada masa sama, inisiatif ini juga akan menyumbang kepada matlamat Talent Bank kami, yang menyasarkan pembangunan 10,000 pemimpin Bumiputera berimpak tinggi menjelang 2030 merangkumi sektor perniagaan, profesional dan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, YP perlu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat Bumiputera bagi sektor berpertumbuhan tinggi serta pekerjaan masa depan.

Pendekatan itu penting sebagai sebahagian daripada hala tuju agensi itu bagi 2026 dan seterusnya.

“YP perlu menjadi saluran bakat yang lebih strategik untuk ekonomi masa hadapan. Sasaran YP untuk mencapai 7,000 pendaftaran program teknologi pada tahun 2026 dan 15,000 bakat setahun menjelang 2028 bukan sekadar angka penyertaan.

Tetapi pelaburan jangka panjang untuk memastikan lebih ramai bakat Bumiputera mampu menyumbang dalam sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, teknologi digital, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan industri masa hadapan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.