Lonjakan perdagangan bukti ekonomi negara kekal kukuh

Foto fail

PETALING JAYA, 20 Mei– Lonjakan perdagangan Malaysia sebanyak 28.6 peratus kepada rekod RM336.73 bilion pada April membuktikan ekonomi negara masih kekal kukuh dan berdaya tahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lonjakan didorong syarikat global percepat pembelian awal untuk elak tarif, ketegangan geopolitik dan gangguan logistik.
  • Momentum positif dijangka menyokong prestasi perdagangan separuh pertama; Mei dan Jun dijangka kekal stabil.
  • Pertumbuhan separuh kedua dijangka lebih sederhana kerana gangguan rantaian bekalan memberi impak kepada pembuatan, teknologi dan kos operasi industri.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, prestasi tersebut didorong tindakan syarikat global yang mempercepatkan aktiviti pembelian awal.

Langkah itu bagi mengelakkan risiko tarif, ketegangan geopolitik dan gangguan logistik pada masa hadapan.

Menurut beliau, momentum positif itu dijangka terus menyokong prestasi perdagangan negara bagi separuh pertama tahun ini.

“Bagi Mei dan Jun, kami meramalkan perdagangan Malaysia akan kekal stabil.

Ketika ini, pertumbuhan bagi April 2026 sekitar 28 peratus, namun untuk dua bulan berkenaan, ia dijangka berada dalam lingkungan antara 10 hingga 15 peratus,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, peningkatan perdagangan pada April turut disokong aktiviti import bahan mentah dan komponen industri yang kekal kukuh.

Situasi itu menunjukkan sektor pembuatan negara masih aktif meningkatkan pengeluaran.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan pertumbuhan perdagangan bagi separuh kedua 2026 akan lebih sederhana.

“Kita melihat kemungkinan gangguan rantaian bekalan global akan memberi kesan kepada suku ketiga tahun ini.

Situasi itu dijangka memberi impak kepada sektor pembuatan dan teknologi yang menjadi antara pemacu utama perdagangan negara,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, gangguan tersebut turut berpotensi meningkatkan tekanan kos operasi industri kerana banyak sektor pembuatan masih bergantung kepada komponen dan bahan mentah import.

Terdahulu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan, prestasi perdagangan Malaysia pada April 2026 meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun kepada RM336.73 bilion.

Pencapaian itu merupakan pertumbuhan terpantas sejak September 2022 serta terbaik dalam tempoh 43 bulan.

Menurut MITI, prestasi tersebut disokong pengembangan berterusan pasaran dan barangan eksport utama negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.