
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Cadangan peningkatan cukai tembakau sekurang-kurangnya lima peratus setiap tahun mampu menyumbang pertambahan hasil negara sebanyak RM5 bilion menjelang 2030 selain memperkukuh dasar pengawalan tembakau.
- Kutipan cukai rokok dianggarkan sekitar RM4 bilion setahun.
- Hasil tambahan boleh membiayai program sosial, kesihatan dan bantuan untuk ketagihan nikotin.
- Lebih 80 peratus rakyat menyokong cukai tembakau berbanding bentuk cukai lain.
- Malaysia perlu patuhi Artikel 5.3 WHO FCTC dan lindungi dasar kawalan tembakau daripada pengaruh industri.
Penyelidik Kanan Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), Muhammad Daniel Kittu berkata, kutipan hasil cukai rokok ketika ini dianggarkan sekitar RM4 bilion setahun berdasarkan data awam dan peningkatan cukai tahunan dijangka mampu meningkatkan hasil negara dengan ketara.
Katanya, hasil tambahan itu boleh dimanfaatkan bagi membiayai program sosial dan kesihatan termasuk bantuan kepada individu yang berdepan ketagihan tembakau dan nikotin.
“Antara perkara penting daripada kajian kami ialah cukai tembakau amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Berbanding semua bentuk cukai lain, lebih 80 peratus rakyat sebenarnya menyokong cukai tembakau.
“Cadangan utama kami adalah untuk meningkatkan cukai tembakau sekurang-kurangnya lima peratus setiap tahun. Dan kami menegaskan, ia adalah kadar minimum kerana kami melihat kenaikan cukai tembakau yang signifikan sememangnya diperlukan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan rokok seludup susulan kenaikan cukai, Muhammad Daniel berkata, pelbagai kajian di Malaysia dan luar negara menunjukkan faktor utama yang mendorong perdagangan rokok haram ialah kelemahan penguatkuasaan dan rasuah, bukannya harga rokok atau kadar cukai tembakau.
Katanya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga menunjukkan prestasi yang baik dalam memperkukuh penguatkuasaan bagi menangani isu berkenaan.
Dalam pada itu, katanya Malaysia perlu mematuhi obligasi antarabangsa di bawah Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC) yang menuntut dasar kawalan tembakau dilindungi daripada pengaruh industri.
“Sebagai sebuah negara, kita telah menyertai rangka kerja ini. Oleh itu, kita perlu menghormati obligasi antarabangsa dan memastikan industri berada dalam jarak selamat semasa proses penggubalan dasar.
Akhirnya, dasar percukaian ini sememangnya baik untuk kesihatan awam dan ia matlamat utama yang perlu dilindungi,” katanya.