
KUALA LUMPUR, 10 April – Kadar pengangguran kekal pada 2.9 peratus setakat Februari 2026 dengan bilangan penganggur lebih rendah sebanyak 506,800 orang.
- Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan disokong permintaan domestik stabil serta pengembangan sektor perkhidmatan dan aktiviti berkaitan pelaburan.
- Pasaran buruh tetap stabil dan memperlihatkan isyarat awal penyesuaian struktur secara beransur-ansur.
- Tenaga buruh dan bilangan penduduk bekerja mencatat peningkatan kecil manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah.
- Sektor perkhidmatan terutama perdagangan borong dan runcit terus menjadi penyumbang utama pekerjaan; prospek dijangka stabil tetapi pertumbuhan lebih sederhana.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan ekonomi Malaysia pada bulan tersebut kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti berkaitan pelaburan.
“Kedudukan ekonomi ini turut dicerminkan oleh pasaran buruh yang kekal stabil, di samping memperlihatkan isyarat awal berlakunya penyesuaian struktur secara beransur-ansur.
”Sehubungan itu, tenaga buruh pada bulan berkenaan terus mencatat peningkatan, naik 0.1 peratus kepada 17.3 juta orang berbanding bulan sebelumnya sebanyak 17.28 juta orang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh Februari kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut menunjukkan trend peningkatan dengan pertambahan 0.1 peratus kepada 16.79 juta orang berbanding 16.77 juta orang pada Januari 2026.
Beliau berkata kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah bilangan penduduk bekerja, meningkat 0.1 peratus kepada 12.59 juta orang berbanding bulan sebelumnya.
Di samping itu, bilangan penduduk bekerja sendiri meningkat 0.3 peratus kepada 3.13 juta orang berbanding bulan sebelumnya.
Bagi tempoh sama, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan berada dalam trend meningkat, dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit kekal sebagai penyumbang utama.
Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia pada bulan yang akan datang dijangka kekal stabil, disokong oleh asas domestik yang kukuh.
”Namun, pertumbuhan tersebut diramal lebih sederhana dan memerlukan penyesuaian berterusan daripada persekitaran ekonomi dan tenaga buruh.
”Pada masa yang sama, situasi ini perlu dinilai dengan mengambil kira senario semasa krisis tenaga global,” katanya.