
TEHRAN, 19 April – Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz sebagai keputusan “cuai, jahil dan bodoh”.
- Iran menegaskan kawalan ke atas Selat Hormuz dan menghalang pihak bermusuhan menggunakan laluan itu dengan mudah.
- Tehran tidak akan berkompromi terhadap ancaman luar tetapi tidak berniat menekan rakyat atau mencetuskan ketidakstabilan.
- Rundingan antara Tehran dan Washington buntu; jurang besar kekal, AS perlu usaha memulihkan kepercayaan Iran.
- IRGC umum Selat Hormuz ditutup semula, semua pergerakan kapal di Teluk Parsi dan Laut Oman diharamkan selepas dakwaan pelanggaran gencatan senjata.
Beliau menegaskan Iran mempunyai kawalan ke atas laluan strategik itu dan memberi amaran kepada pihak yang dianggap musuh maka tidak akan diberi laluan mudah.
Menurutnya, Iran tidak berniat menekan rakyat atau mencetuskan ketidakstabilan, namun tidak akan berkompromi terhadap ancaman luar.
“Selama dua hingga tiga hari ini AS cuba ‘mengepung’. Apa maksud kepungan itu? Semua orang boleh keluar masuk, tapi Iran tidak boleh? Semua pihak boleh melaluinya, tetapi kami tidak boleh? Itu satu kesilapan demi kesilapan.
“Selat Hormuz berada di bawah kawalan Iran. Kami mahu laluan ini digunakan oleh semua, tetapi pihak yang bertindak sebagai musuh dan bersikap bermusuhan tidak boleh melaluinya dengan mudah. Kami tidak berniat menekan rakyat atau mencetuskan ketidakstabilan,” katanya.
Dalam masa sama, Ghalibaf berkata rundingan antara Tehran dan Washington masih buntu, dengan jurang besar kekal dalam beberapa isu utama.
“Amerika Syarikat perlu membuat keputusan untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat Iran. Itu langkah paling penting,” katanya.
Kenyataan itu dibuat menjelang tamat tempoh gencatan senjata antara AS, Israel dan Iran dalam masa terdekat.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memberi amaran operasi ketenteraan akan disambung jika tiada perjanjian dicapai.
Rundingan yang diusahakan di Islamabad setakat ini gagal mencapai kata sepakat.
Rundingan pusingan baharu dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Semalam, media melaporkan Selat Hormuz sekali lagi ditutup selepas Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa AS melanggar syarat gencatan senjata.
Menurut kenyataan IRGC, beberapa kapal masih melalui selat berkenaan sebelum ini, namun pihak AS didakwa gagal menarik balik sekatan tentera laut ke atas kapal dan pelabuhan Iran.
Susulan itu, IRGC berkata, semua pergerakan kapal di Teluk Parsi dan Laut Oman kini adalah dilarang. – VIORY