
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – YTL AI Labs melancarkan ILMUcode, platform pengekodan kecerdasan buatan (AI) generasi baharu yang memberi akses kepada pembangun dan pelajar tempatan kepada teknologi pembangunan perisian termaju.
- Universiti Malaya menjadi institusi pertama negara memperkenalkan platform itu kepada pelajarnya.
- Inisiatif ini memperkukuh pembangunan keupayaan dan bakat AI tempatan selaras aspirasi Malaysia menjadi negara berasaskan AI.
- Model ILMU dibangunkan, dimiliki dan dikendalikan di Malaysia, serta dilatih menggunakan bahasa dan data tempatan.
- 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer UM terima kredit RM100 sebulan selama tiga bulan untuk membangunkan projek.
Universiti Malaya (UM) menjadi universiti pertama di Malaysia memperkenalkan platform itu kepada pelajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata, pengenalan ILMUcode merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat itu untuk membangunkan keupayaan dan bakat AI tempatan.
“Inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukan sebagai negara berasaskan AI, selain memastikan generasi baharu pembangun teknologi mendapat akses kepada peralatan AI bertaraf tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelancaran ILMUcode turut memperluas penggunaan model ILMU dalam pembangunan perisian, khususnya dalam kalangan pelajar dan pembangun yang bakal menjadi sebahagian daripada kumpulan bakat teknologi negara.
“Platform itu menggabungkan pembantu pengekodan AI berciri agentik dengan model ILMU-GLM-5.3 yang dibangunkan menerusi kerjasama YTL AI Labs dan Z.ai.
ILMUcode membolehkan pengguna memahami pangkalan kod kompleks, menulis dan mengubah suai kod, menyelesaikan masalah pembangunan perisian serta menterjemahkan idea kepada perisian berfungsi dengan lebih pantas,” jelas Foong.
Katanya, model ILMU dibangunkan, dimiliki dan dikendalikan di Malaysia oleh YTL AI Labs dengan kerjasama UM.
Model berkenaan turut dilatih menggunakan bahasa dan data tempatan bagi membantu memahami konteks, budaya serta keperluan rakyat Malaysia.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melancarkan ILMUcode di UM, yang menjadi institusi pengajian tinggi pertama negara memperkenalkan platform itu kepada pelajarnya.
Di bawah inisiatif berkenaan, seramai 800 pelajar tahun pertama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UM akan menerima kredit RM100 sebulan selama tiga bulan, dengan nilai keseluruhan sehingga RM300 untuk membangunkan projek menggunakan ILMUcode.
Penggunaan infrastruktur AI tempatan turut membolehkan keupayaan pengekodan termaju ditawarkan kepada pengguna di Malaysia pada kos yang lebih rendah.
Pelancaran ILMUcode sekali gus memperluas penggunaan teknologi AI dalam pendidikan tinggi, khususnya bagi memberi pendedahan praktikal kepada pelajar dalam pembangunan perisian berasaskan AI.