
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada September, disokong asas bekalan serta gangguan geopolitik yang terus menjejaskan aliran perdagangan minyak sayuran global.
- Pengeluaran MSM meningkat 9.4% bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan pada Julai, tetapi masih mencatat penurunan tahun ke tahun kelima berturut-turut.
- Prestasi eksport bertambah baik, penghantaran meningkat 14.5% bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan, disokong permintaan dari India dan Afrika Sub-Sahara.
- Stok meningkat kepada 2.62 juta tan pada Julai, namun tidak membimbangkan kerana permintaan biodiesel kukuh dan eksport Indonesia dipercepatkan.
- Minyak sawit memimpin kenaikan harga minyak sayuran Ogos susulan permintaan biofuel dan ketidaktentuan geopolitik; pengeluaran lazimnya memuncak Sep/Okt sebelum menurun.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 9.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.79 juta tan pada Julai 2026, naik sebanyak 154,000 tan berbanding bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, pengeluaran itu masih lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatat penurunan tahun ke tahun bagi bulan kelima berturut-turut sejak Mac 2026.
“Prestasi eksport pula bertambah baik dengan penghantaran meningkat 14.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.39 juta tan pada Julai, didorong pembelian lebih kukuh dari India menjelang sambutan Deepavali serta permintaan berterusan dari rantau Afrika Sub-Sahara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.62 juta tan pada Julai, namun ia peningkatan itu tidak dilihat sebagai kebimbangan besar susulan permintaan biodiesel yang kukuh serta tindakan mempercepatkan eksport di Indonesia yang menyebabkan paras stok negara berkenaan kekal rendah.
Kenaikan harga selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengeluarkan data penawaran dan permintaan pada 10 Ogos turut menunjukkan bahawa paras stok semasa masih tidak berlebihan, walaupun bekalan keseluruhan kekal selesa.
“Dalam perkembangan pasaran global, minyak sawit terus menjadi peneraju kenaikan harga minyak sayuran pada Ogos susulan sokongan permintaan biofuel dan ketidaktentuan geopolitik.
“Harga MSM Malaysia meningkat 3.9 peratus, berbanding kenaikan 2.7 peratus bagi minyak bunga matahari dan 1.1 peratus bagi minyak kacang soya di Argentina, manakala harga minyak rapeseed di Eropah susut 0.8 peratus,” tambah kenyataan itu.
Pengeluaran minyak sawit negara lazimnya memuncak pada September atau Oktober sebelum memasuki trend penurunan pada suku keempat.