
KUALA LUMPUR, 16 Januari – FGV Holdings Bhd (FGV) memperoleh kebenaran untuk mengeksport semula minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke Amerika Syarikat (AS) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu.
- FGV kini dibenarkan mengeksport semula minyak sawit dan produk ke pasaran perdagangan AS selepas pindaan WRO oleh CBP.
- CBP menetapkan pematuhan undang-undang dan peraturan AS sebagai syarat untuk memasuki pasaran itu.
- FGV melaksanakan pelan tindakan melawan buruh paksa dan buruh kanak-kanak mengikut piawaian ILO.
- Langkah lain termasuk prosedur pengambilan beretika, program bayaran balik yuran, mekanisme aduan, dan kerjasama dengan NUPW.
Dalam satu kenyataan, FGV memaklumkan CBP AS telah membuat pindaan ke atas Perintah Penahanan Pelepasan (WRO) yang berkuat kuasa mulai 15 Januari 2026.
CBP AS turut mengesahkan bahawa produk keluaran FGV, termasuk anak syarikat dan usaha samanya, kini dibenarkan untuk memasuki pasaran perdagangan AS, tertakluk kepada pematuhan kumpulan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
“Pindaan tersebut dibuat hasil usaha berterusan dan menyeluruh FGV dalam memperkukuh amalan buruh selaras dengan peraturan tempatan dan piawaian antarabangsa.
“Usaha ini merangkumi pelaksanaan pelan tindakan yang kukuh bagi memastikan tiada Amalan Buruh Paksa dan Buruh Kanak-kanak seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), wujud dalam operasi FGV,” menurut FGV.
Antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk memperkukuh prosedur pengambilan pekerja agar selaras dengan prinsip dan piawaian pengambilan pekerja yang beretika dan bertanggungjawab serta melaksanakan program pembayaran balik yuran pengambilan pekerja.
Selain itu, mengutamakan suara pekerja melalui Jawatankuasa Komunikasi Harmoni di peringkat ladang serta memperkukuh mekanisme aduan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Aduan Kumpulan yang memantau serta melaksanakan saluran aduan pihak ketiga.
FGV turut bekerjasama dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW) bagi mempromosikan hak pekerja terhadap kebebasan berpersatuan dan keahlian kesatuan sekerja, tambah FGV.
Susulan pindaan WRO tersebut, FGV kekal komited untuk mempertahankan hak asasi manusia dan memperkukuh amalan kelestarian di seluruh operasi dan rantaian bekalannya sejajar dengan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) global yang sentiasa berkembang.