
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang positif pada tahun ini di sebalik prospek ekonomi global yang dijangka sederhana, disokong oleh kekuatan permintaan domestik, kerancakan aktiviti pelancongan serta sokongan dasar kerajaan.
- Aktiviti domestik yang kukuh dijangka meminimumkan impak negatif faktor luaran terhadap ekonomi Malaysia.
- Tahun Melawat Malaysia 2026 dan peningkatan ketibaan pelancong dijangka memberi impak ekonomi lebih tinggi.
- Bantuan kerajaan seperti STR, SARA dan inisiatif pasaran buruh menyokong pendapatan pengguna serta perbelanjaan domestik.
Ketua Penyelidik Ekonomi, TA Securities, Shazma Juliana Abu Bakar berkata kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global pasca 2025 dilihat semakin berkurangan, susulan penyesuaian dasar yang dilaksanakan rentetan perubahan tarif serta kos perdagangan.
“Kebanyakan negara dan syarikat telah mula menyesuaikan diri dengan perubahan tarif serta kos barangan dan perkhidmatan. Kesannya terhadap Malaysia tetap ada, namun aktiviti domestik yang kukuh dijangka dapat meminimumkan impak negatif daripada faktor luaran.
“Pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 tahun ini juga dijangka memberi impak ekonomi yang lebih tinggi daripada jangkaan, dengan sasaran kerajaan sebanyak 47 juta ketibaan pelancong termasuk pelancong domestik”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Biz Malaysia di Wisma Berita, RTM.
Tambahnya, sokongan berterusan oleh kerajaan menerusi pelbagai bentuk bantuan akan turut menyokong pendapatan pengguna dan perbelanjaan domestik.
Antara langkah tersebut termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), serta inisiatif berkaitan pasaran buruh seperti peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja.
“Jika dilihat dari segi pendapatan pengguna, masih banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan. Selain itu, pelbagai inisiatif oleh majikan untuk meningkatkan produktiviti pekerja juga membantu menyokong ekonomi domestik,” katanya.