Dividen TH cerminkan prestasi stabil

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Dividen 3.5 peratus Tabung Haji bagi tahun kewangan terkini mencerminkan prestasi stabil dan berdaya tahan, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi Tabung Haji stabil dan berdaya tahan, mencerminkan disiplin pelaburan yang kukuh
  • Pengurusan dana berhemah dengan strategi pelaburan seimbang dan kepelbagaian aset domestik serta antarabangsa, patuh syariah
  • Dividen menunjukkan relevansi simpanan jangka panjang untuk perancangan haji, tetapi pulangan bergantung kepada prestasi pasaran

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata kadar itu kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan patuh syariah berisiko rendah lain.

“Dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu, prestasi Tabung Haji kekal stabil dan berdaya tahan, sekali gus mencerminkan disiplin pelaburan yang kukuh,” katanya.

Beliau menjelaskan pencapaian itu menunjukkan keupayaan Tabung Haji mengurus dana pendeposit secara berhemah melalui strategi pelaburan seimbang antara pulangan dan risiko.

Menurutnya, kekuatan tersebut turut didorong kepelbagaian aset merentasi sektor domestik dan antarabangsa, selain kekal berpegang kepada prinsip patuh syariah.

Katanya, dividen itu juga memberi isyarat bahawa simpanan jangka panjang dalam Tabung Haji masih relevan sebagai instrumen perancangan kewangan, khususnya bagi umat Islam yang merancang menunaikan haji.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pulangan dividen bergantung kepada prestasi pasaran dan keadaan ekonomi semasa.

“Pendekatan terbaik adalah melihat simpanan ini sebagai pelaburan jangka panjang, bukan semata-mata keuntungan jangka pendek,” katanya.