
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam julat lebih sederhana minggu depan susulan aktiviti pengambilan untung selepas mencatat kenaikan kukuh minggu ini.
- Sentimen pasaran dipengaruhi konflik Amerika Syarikat dan Iran; ketegangan mengekalkan harga minyak tinggi kerana kebimbangan gangguan di Selat Hormuz.
- Harga minyak dijangka tidak kembali hampir AS$110 setong kerana bekalan global mencukupi dan tiada gangguan pengeluaran besar.
- Penggiliran sektor berterusan; teknologi berpotensi turun naik. Saham perbankan, perladangan dan pengguna defensif dijangka menyokong pasaran.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, sentimen pasaran akan terus dipengaruhi perkembangan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
Ketegangan baharu itu dijangka mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.
Bagaimanapun, harga minyak dijangka tidak kembali menghampiri paras AS$110 setong seperti pada suku kedua tahun ini, mengambil kira bekalan global yang masih mencukupi serta ketiadaan gangguan pengeluaran berskala besar.
Dalam pada itu, penggiliran sektor dijangka terus menjadi tema utama pasaran apabila pelabur menilai semula jangkaan kadar faedah dan risiko geopolitik.
Saham teknologi berpotensi mengalami turun naik selepas mencatat prestasi kukuh pada awal tahun, selari dengan trend penggiliran sektor dalam pasaran global dan serantau.
Di peringkat domestik, saham perbankan, perladangan dan pengguna defensif dijangka terus menyokong pasaran, didorong asas ekonomi negara yang berdaya tahan serta minat berterusan pelabur asing.