KKM lulus peruntukan segera tambah baik kemudahan di kemar, perkukuh akses kesihatan orang asli

Facebook: Dr Dzulkefly Ahmad

IPOH, 9 Ogos- Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan serta-merta sebanyak RM500,000 bagi menambah baik kemudahan di Klinik Kesihatan (KK) Kemar, Gerik dalam usaha memperkukuh perkhidmatan kepada penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bina Rumah Penyimpan Bot baharu untuk memudahkan penyimpanan dan penyelenggaraan bot, meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada komuniti Orang Asli.
  • Perolehan pacuan empat roda dan kelengkapan perubatan kritikal bagi memudahkan intubasi serta memperbaiki respon kecemasan.
  • Perasmian Bot Medik 8 untuk mempercepatkan respons kecemasan kepada lebih 4,500 penduduk Orang Asli yang bergantung kepada laluan air.
  • Program Community Feeding di RPS Kemar menurunkan kadar bantut daripada 75.2 kepada 50.8 peratus dan kurang berat badan kepada 25.2.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tumpuan akan diberikan kepada pembinaan Rumah Penyimpan Bot yang baharu.

“Fasiliti ini memikul tanggungjawab besar dalam menyalurkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti Orang Asli yang amat bergantung kepadanya.

“Kemudahan sedia ada yang telah berusia lebih 11 tahun kini makin usang dan hanya mampu memuatkan sebuah bot sahaja lantas menyukarkan kerja perlindungan serta penyelenggaraan aset penting ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata peruntukan turut disalurkan bagi perolehan aset seperti pacuan empat roda bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang sudah uzur dan pembelian kelengkapan perubatan kritikal yang amat diperlukan bagi melancarkan proses intubasi ketika mengendalikan kes kecemasan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly juga berkata KKM komited dalam menyegerakan projek pembinaan KK Kemar yang baharu agar penduduk menikmati kemudahan penjagaan kesihatan yang jauh lebih selesa, komprehensif dan moden.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan dan menyantuni warga kerja fasiliti kesihatan itu dalam siri lawatannya ke Hulu Perak.

Menerusi hantaran berasingan, Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan beliau turut merasmikan Bot Medik 8 di Jeti Belum Rainforest Resort ketika lawatan itu dalam usaha memendekkan tempoh respons kecemasan membabitkan lebih 4,500 penduduk Orang Asli di sekitar RPS Kemar yang bergantung sepenuhnya kepada laluan air sebagai perhubungan.

Beliau berkata bot pelbagai guna berkapasiti 12 penumpang bernilai RM350,000 itu akan melengkapi armada enam bot KKM sedia ada.

“Namun, secanggih manapun aset kerajaan, ia tiada makna tanpa pengorbanan petugas kita di lapangan,” katanya yang turut merakamkan ucapan penghargaan kepada petugas kesihatan yang sentiasa bersiap sedia meredah arus sungai dan cuaca buruk demi menunaikan amanah merawat pesakit.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata prinsip di bawah Malaysia MADANI amat jelas, iaitu kesihatan adalah hak saksama buat semua dan bentuk muka bumi serta geografi pedalaman yang berliku tidak akan sesekali menjadi penghalang untuk seluruh rakyat menikmati akses kepada rawatan terbaik.

Beliau turut melawat Pusat Program Community Feeding di RPS Kemar yang juga inisiatif intervensi pemakanan bersasar khusus buat anak-anak Orang Asli berumur lingkungan 6 bulan hingga 6 tahun.

“Ia merangkumi pendekatan active feeding, bekalan susu tepung penuh krim, multivitamin serta rawatan RUTF (Makanan Terapeutik Sedia Diguna) bagi kes kekurangan zat makanan.

“Alhamdulillah, sedekad pelaksanaannya dari tahun 2015 hingga 2025 di Pos Kemar telah membuahkan hasil dan impak kesihatan yang amat positif… kadar bantut berjaya diturunkan secara drastik daripada 75.2 kepada 50.8 peratus,” katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata pada masa sama, kadar kurang berat badan turut mencatatkan penurunan yang memberangsangkan daripada 43.7 kepada 25.2 peratus. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.