
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Keputusan Moody’s Ratings (Moody’s) yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh serta pengurusan fiskal yang semakin baik.
- Kutipan hasil kerajaan melebihi sasaran Belanjawan 2026; prestasi lima bulan pertama lebih baik berbanding 2025 dan 2024.
- Peningkatan hasil membolehkan kerajaan meneruskan pelaburan strategik dan memberi sokongan langsung kepada ekonomi negara.
- Kedudukan fiskal lebih kukuh memberi ruang mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global terhadap negara.
- Ekonomi dijangka berkembang lebih pantas 2026, disokong oleh struktur pelbagai, sumber asli mencukupi dan simpanan domestik besar.
Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, keyakinan agensi penarafan antarabangsa itu memberi isyarat positif kepada pelabur terhadap prospek ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang.
“Ini menunjukkan bahawa kekuatan ekonomi Malaysia bukan sahaja didorong oleh struktur ekonominya yang kukuh, malah turut disokong oleh kejayaan kerajaan mengutip hasil yang lebih tinggi daripada sasaran yang diunjurkan dalam Belanjawan 2026.
“Seperti yang saya tunjukkan sebelum ini, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kutipan hasil kerajaan mencatat prestasi yang lebih baik berbanding tempoh sama pada 2025 dan 2024,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada Sesi Taklimat Media Mengenai Tinjauan Ekonomi Mikro bagi Separuh Kedua 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Tambah beliau, peningkatan hasil itu membolehkan kerajaan meneruskan pelaburan strategik serta menyediakan sokongan kepada ekonomi negara.
“Kedudukan fiskal yang lebih kukuh juga memberi ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi global terhadap negara,” katanya lagi.
Sebelum ini, Moody’s mengekalkan penarafan berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan stabil selepas selesai melaksanakan semakan berkala terhadap penarafan penerbit mata wang asing dan tempatan jangka panjang negara itu.
Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang dengan lebih cepat pada 2026 berbanding negara berpenarafan setara disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang kukuh, sumber asli yang mencukupi dan simpanan domestik yang besar.
Kekuatan itu didorong oleh asas pelabur domestik yang besar yang turut menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, mengurangkan risiko kecairan serta mengekalkan kos pinjaman pada tahap yang sederhana.